Monday, November 15, 2010

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Sipitang


TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Razak (kiri) dan Asli menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang 2009 Jabatan Pelajaran Sipitang kepada Dayang Wardah Senan Sekolah Kebangsaan Lubok Darat.

TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Razak (kiri) dan Asli menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang 2009 Jabatan Pelajaran Sipitang kepada Fredy Voo daripada Sekolah kebangsaan Long Pasia.

SIPITANG: Warga guru perlu bersedia menerima dan melakukan perubahan dalam melaksanakan amanah memberikan didikan dan bimbingan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata peredaran masa yang sentiasa berubah turut member kesan kepada pembangunan pendidikan.

“Pembangunan pendidikan amat perlu selari dengan keadaan dunia dan ia turut memerlukan warga pendidik untuk menerima dan bersedia melakukan perubahan itu.

“Langkah ini adalah disebabkan untuk mengelak warga pendidik tidak ketinggalan yang akhirnya turut membantutkan pembangunan pendidikan di negara ini,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 di SFI Motel di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai pelajaran Sipitang Abdul Razak Abdul Karim, Pengerusi Majlis Guru Besar Sipitang Asli Moksin, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul rahman Mohd Noh dan Wakil pejabat daerah Sipitang Jefferi Muslim.

Sapawi berkata warga pendidik yang sentiasa mengikuti arus perubahan akan berupaya memberikan bimbingan serta didikan yang berkesan.

Katanya usaha melahirkan generasi berilmu dan berhemah tinggi memerlukan sokongan daripada warga pendidik.

Menurutnya kerajaan juga sentiasa memberi perhatian terhadap kepentingan dan kebajikan warga pendidik.

Bagaimanapun Sapawi memberitahu tanggungjawab melahirkan generasi berilmu dan berhemah tinggi turut memerlukan sokongan daripada ibu bapa.

Katanya tugas memberikan bimbingan serta didikan terletak juga dibahu ibu bapa dan tidak hanya terletak kepada warga pendidik.

Sambil melahirkan penghargaan atas usaha yang diberikan oleh warga pendidik, Sapawi berkata jasa dan sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik sesungguhnya amat mulia.

Di Majlis tersebut seramai 64 orang pendidik daripada 25 buah sekolah di Sipitang menerima anugerah perkhidmatan cemerlang jabatan pelajaran Sipitang.

Share |