DAPAT SAMBUTAN…Kaunter Umno Sipitang sering dapat sambutan pengunjung pada majlis tersebut
MERIAH…Sapawi dan Kamarlin menyaksikan pertandingan akhir tarik tali di majlis tersebut.
SOKONGAN PADU…Sebahagian penduduk setempat yang hadir di majlis tersebut.
SUMBANGAN…Sapawi menyampaikan sumbangan kepada warga tua di majlis tersebut.
TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Matbali menyampaikan hadiah pemenang utama cabutan pengunjung bertuah dimajlis tersebut.
BEAUFORT: Masyarakat dinasihatkan agar tidak memandang mudah atau bersikap remeh terhadap gejala najis dadah khususnya yang melanda generasi muda.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata penglibatan generasi muda dengan gejala najis dadah amat membimbangkan.
“Perkara ini perlu dipandang serius kerana masa depan negara bergantung kepada pembentukkan generasi muda,” katanya di Kampung Kebajang dekat sini kelmarin.
Berucap pada Program Juara Rakyat Bersama Masyarakat Membanteras Dadah di Sekolah Kebangsaan Kebajang, Sapawi berkata generasi yang terlibat dengan dadah bukan sahaja hilang masa depan tetapi turut menggugat masa depan negara.
Katanya negara akan terus maju dan membangun tanpa memerlukan generasi yang terlibat dengan dadah.
“Generasi yang bebas dengan gejala najis dadah adalah generasi yang membawa harapan dan mampu melaksanakan serta merealisasikan hasrat kepimpinan hari ini untuk memastikan negara terus maju dan membangun,” katanya.
Bagaimanapun Sapawi berkata kerajaan tidak mengabaikan generasi yang terlibat dengan najis dadah dan berusaha untuk menarik mereka daripada terus terlibat dengan gejala yang tidak bermanfaat itu.
Katanya antara usaha kerajaan itu termasuklah menyediakan pusat-pusat pemulihan serta mengadakan pelbagai program bagi membina semula masa depan mereka yang pernah terlibat dengan gejala najis dadah.
Namun, katanya, sokongan daripada masyarakat amat penting bagi memastikan segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan menepati sasarannya.
“Kita harus tidak bersikap remeh atau memandang mudah perkara ini…gejala najis dadah harus dipandang serius,” katanya dan menambah sebuah negara yang maju dan membangun mampu musnah kerana najis dadah.
Majlis anjuran Pusat khidmat Parlimen Sipitang dan Umno Sipitang bersama AADK Sabah dan Jasa turut dihadiri Wakil Rakyat Lumadan Kamarlin Ombi,Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sabah Bakri Bibi, Penolong Pegawai Daerah Beaufort Ali Amat Zamzam, Ketua Daerah beaufort Junli Yusuf dan pengerusi penganjur merangkap Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musa.