Tuesday, December 14, 2010

Konvoi Motosikal Hari Kesedaran Jenayah


LANCAR…Sapawi bersama Ahmad, Latip, Jamaludin dan Samsuri meletakkan tangan diatas lampu tanda gimik Program hari Kesedaran Jenayah peringkat Sipitang.

PERLEPASAN…Sapawi melepaskan konvoi motosikal sempena program tersebut.

SIPITANG: Cara terbaik menangani jenayah ialah pemerhatian yang bermula daripada rumah, kata Datuk Sapawi Ahmad.

Ahli Parlimen Sipitang itu berkata pemerhatian daripada ibu bapa terhadap kegiatan atau aktiviti anak serta usaha mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia adalah antara cara bekesan menangani kegiatan jenayah.

“Ramai di kalangan kita bersikap tidak kisah atau selamba terhadap kegiatan jenayah…kadang-kala kita melihat sesuatu jenayah itu kecil sedangkan kesannya amat besar,” katanya pada program hari kesedaran jenayah di dewan serbaguna di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut Waki Rakyat Sindumin Ahmad Bujang, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Ketua Polis Daerah Sipitang DSP Jamaludin Ali, Wakil Konvoi Motosikal ASP Samsuri Mohd.

Sapawi berkata kegiatan jenayah harus dipandang serius dan tanggungjawab menangani jenayah harus tidak hanya diletakkan kepada pihak berkuasa seperti polis semata-mata.

Katanya masyarakat perlu memainkan peranan bagi membantu menangani dan mensifarkan kegiatan jenayah.

“Antara peranan itu termasuklah memberi perhatian terhadap kegiatan atau aktiviti anak-anak,” katanya lagi.

Menurutnya kegagalan membuat pemerhatian daripada rumah boleh menyebabkan anak-anak terjerumus dengan kegiatan jenayah yang akibatnya boleh memusnahkan masa depan mereka.

Sehubungan dengan itu Sapawi berkata kesedaran untuk menangani kegiatan jenayah di kalangan masyarakat adalah penting.

Beliau berkata kerjasama masyarakat dengan pihak berkuasa seperti polis berupaya menangani kegiatan jenayah.

“Program seumpama ini merupakan program yang mampu memberi manfaat dan amat berguna kepada masyarakat,” katanya.

Share |