JALINAN MESRA…Sebahagian pimpinan Umno Sipitang tidak melepaskan peluang memeluk erat Sapawi sejurus tamat kursus tersebut.
SOKONGAN PADU….Sebahagian pimpinan Umno Sipitang yang menghadiri kursus tersebut
MEMBAKUT: Ahli politik tidak sewajarnya mengamalkan sikap suka merajuk, kata Datuk Sapawi Ahmad.
Ketua Penerangan Umno Sabah itu berkata Umno bukan parti yang mengutamakan kuantiti tetapi mengutamakan kualiti perjuangan di kalangan ahli-ahlinya.
“Dalam perjuangan politik kita tidak harus mengamalkan sikap suka merajuk…untung nasib dalam politik bukan terletak kepada bilangan ahli yang ramai,” katanya pada penutupan Kursus Pemantapan dan Tranformasi Organisasi Umno Bahagian P.178 Sipitang dekat di sini.
Beliau berkata asas kekuatan Umno sebagai tulang belakang Barisan Nasional adalah perjuangan ahli yang ikhlas.
Menurutnya perjuangan itu disemai dengan kasih sayang dan lebih mengutamakan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Katanya anggota parti perlu percaya dan yakin serta taat dan akur kepada pemimpin sama ada pada peringkat negara dan negeri tetapi juga pada peringkat bahagian dan cawangan.
Kursus selama tiga hari itu dihadiri oleh 302 ahli umno terdiri daripada ketua-ketua cawangan termasuk Wanita dan Sayap Pemuda dan Puteri yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ketua Puteri Umno Sipitang Dayang Maimunah Sidek .
Sapawi yang jug Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata Umno Sabah yang telah genap berusia 20 tahun telah mengubah landskap politik di negeri ini di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman yang jug pengerusi Umno dan BN Sabah.
Katanya Umno Sabah juga telah melakar sejarah apabila membuka ruang keahlian kepada kaum Bumiputera Sabah untuk menjadi ahli.
“Penerimaan dan sambutan yang diberikan amat baik khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Bagaimanapun Sapawi menegaskan bahawa Umno tidak mengetepikan soal persefahaman dan kerjasama dengan parti komponen.
Katanya persefahaman dan kerjasama yang mantap di kalangan parti komponen juga sebagai faktor kekuatan BN Sabah.
Menurutnya persefahaman dan kerjasama itu sentiasa dipermantapkan bukan hanya pada peringkat atasan tetapi juga perlu pada peringkat akar umbi.
Sehubungan dengan itu Sapawi meminta agar ahli Umno pada semua peringkat khususnya cawangan bergerak secara proaktif.
Katanya kekuatan dan kemantapan Umno pada ketika ini tidak harus melekakan sebaliknya ia wajar dijadikan sebagai pendorong kepada semua ahli untuk terus memastikan keyakinan dan kepercayaan rakyat bertambah.
“Jangan leka dan jangan juga amalkan sikap angkuh dan sombong…fahami perjuangan politik Umno sebenar,” katanya lagi.
.