SEMANGAT…Sapawi bersama barisan pimpinan Umno Sipitang menyanyikan lagu Umno di majlis tersebut.
SOKONGAN PADU…Sebahagian ahli Umno yang menghadiri majlis perasmian berkelompok tersebut.
SIPITANG: Anggota Umno disaran agar memastikan persefahaman dan perpaduan kaum terus dikekalkan dan ditingkatkan.
Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata terdapat usaha parti pembangkang yang cuba memecahbelahkan persefahaman dan perpaduan antara kaum di negara ini.
“Mereka mempengaruhi kaum Cina, India dan juga Melayu…mereka mahu semua kaum bertelagah sesama sendiri.
“Mereka lakukan ini hanya untuk kepentingan mereka sendiri dan inilah antara perkara yang perlu diberikan tumpuan oleh kita sebagai ahli Umno,” katanya pada perasmian mesyuarat perwakilan Umno berkelompok bagi Zon Mesapol dan Usok di dewan serbaguna pekan Mesapol dekat sini kelmarin.
Menurutnya pembangkang tidak lagi mempunyai isu lain bagi menggugat kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional.
Beliau berkata peranan ahli Umno pada semua peringkat adalah memastikan persefahaman dan perpaduan kaum dikekalkan dan dipertingkatkan.
Katanya tanggungjawab dan peranan itu adalah selaras dengan kedudukan Umno sebagai tulang belakang kepada BN.
“Sebab itulah kita perlu memastikan kerjasama dengan parti-parti komponen berterusan dan berkekalan,” katanya lagi.
Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang meminta agar anggota Umno khususnya pada peringkat cawangan sentiasa berganding bahu dalam memastikan kepercayaan dan keyakinan rakyat bukan sahaja kekal tetapi dipertingkatkan.
Katanya ketua-ketua cawangan perlu memainkan peranan yang bijak dalam mengurus tadbir cawangan masing-masing.
“Sebarang masalah perlu diselesaikan dengan baik dan buat perbincangan bagi mencapai keputusan bersama,” katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Ketua Wanita Umno Sipitang Surinam Sadikun, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Ketua Umno Zon Mesapol Abdul Rahman Mohd Noh dan Ketua Umno Zon Usok Bongkol Amin.