Thursday, March 17, 2011

Ucapan Perbahasan Perasmian Penggal Keempat Persidangan Parlimen Ke-12 Di Dewan Rakyat.

MELIHAT PANCARAN
CAHAYA PERUBAHAN


DATUK SAPAWI HJ AHMAD
Ahli Parlimen Sipitang



Ucapan perbahasan Datuk Sapawi Hj Ahmad, Ahli Parlimen Sipitang, sempena perasmian pembukaan penggal keempat persidangan Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat.


Terima kasih Tuan Yang Dipertua
Menjunjung kasih, jutaan penghargaan di atas peluang diberikan kepada saya untuk turut sama berbahas di Dewan Yang Mulia ini. Kesempatan yang sememangnya dinanti-nantikan ini tentu saja akan dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk mengutarakan hal-hal yang tersimpan dan terbuku untuk diketengahkan, dengan harapan mendapat tindakan secepatnya, atau setidak-tidaknya termuat dalam catatan untuk perhatian di masa hadapan.

Semua yang diucapkan di sini, biar dalam apapun bentuk ungkapannya, adalah refleksi suara hati, denyut nurani rakyat yang diwakili di akar-umbi. Setiap yang dinyatakan adalah luhur sejujurnya, bukan ciptaan semata, bukan juga ada maksud tersirat di sebalik yang tersurat, jauh sekali mengaibkan mana-mana pihak, baik secara langsung mahupun tidak. Justeru, mohon apa kiranya setiap yang saya luahkan ini diambil serius, dipandang berat, dan pentingnya semoga cetusan ini tidak menjadi seperti curahan air di daun keladi.

Tanpa membazir waktu, saya awali ucapan ini dengan rakaman sanjungan ke atas Titah Ucapan Diraja, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertua Agong, yang memberikan penghargaan ke atas kebijaksanaan pimpinan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang dikasihi rakyat.

Seperti Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain di barisan kerajaan ini, saya turut berkongsi sentimen kegembiraan kerana kejayaan Perdana Menteri, sebagai nahkoda bahtera kita, mengemudi jentera pentadbiran kerajaan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada tahun 2008, terus mendapat pengiktirafan yang bukan calang-calang, daripada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Kalau sudah demikian pengiktirafan Diraja, janganlah lagi ada siapa-siapa menidakkannya, baik di barisan pembangkang sana mahupun dari mana-mana penjuru negeri dikuasai pembangkang yang terus dibuai lalai dengan `political game show' mereka (dengan izin). Kita mahu mereka bangun dari dengkuran lena tidur panjang sebantal dengan mimpi lain-lain, bangkit segera dari igauan siang, supaya memandang ke langit realiti yang terang-benderang, supaya dapat melihat cahaya perubahan serta kemajuan yang telah dibawakan oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri yang berjiwa rakyat.

Titah Ucapan Diraja sungguh menginspirasikan, lagi menginsafkan. Itulah hakikat yang harus kita terima bersama, semoga ia mencernakan kesedaran kepada agas-agas politik yang sentiasa mengintai ruang mencelarukan keadaan. Kepada mereka ini, saya ingin berpesan. Janganlah pejamkan sebelah mata. Terimalah realiti. Betapa Malaysia di bawah Barisan Nasional telah melakar banyak kejayaan, menjulang banyak pencapaian. Dan semua ini tercapai lantaran kehebatan pimpinan YAB Perdana Menteri yang masyhur di hati rakyat, dan tersohor di pentas dunia. Juga kerana beliau sentiasa berdedikasi dan komited dalam membela untung nasib rakyat, bukan utopia, bukan propaganda dan bukan juga retorik. Tapi sebaliknya berpaksikan falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Tuan Yang Dipertua
Kita berasakan agak kesal dan dukacita kerana adanya anai-anai politik yang terus berfikiran dangkal, meruntuhkan busut kemajuan, menidakkan setiap usaha murni yang dilaksanakan oleh kerajaan. Mereka mengkritik setiap perubahan yang ditampilkan kerajaan. Mereka menghentam setiap pembaharuan. Mereka memburukkan setiap kebaikan yang dibawa kerajaan. Pendek kata, semua yang dibuat oleh kerajaan adalah tidak baik, ada muslihat, ada agenda, ada udang di sebalik batu, dan sebagainya. Ketika semua orang mendayung sampan ke hilir, mereka menyongsong mudik ke hulu. Pada masa sama, mereka menjanjikan bermacam-macam, bulan dan bintang, jika ditakdirkan menjadi pemerintah, sedangkan tanpa mereka sedar, di negeri-negeri di mana mereka berkuasa, mereka tidakpun mampu melaksanakan apa yang dijanjikan itu. Mereka tidak dapat melaksanakannya. Natijahnya, kritikan yang dilemparkan cumalah untuk mengelirukan rakyat, memesongkan fakta, dalam percubaan meraih simpati untuk cuba menebarkan kuasa, menanguk di sungai berair keruh.

Tapi saya yakin dan percaya, rakyat merdeka di bumi bertuah ini tidak lagi mudah digula-gulakan. Mereka tahu jenis tebu yang ditanam di tepi bibir. Mereka cukup dewasa dan matang menyaksikan sandiwara di panggung teater pembangkang. Rakyat memahami skrip mereka, dan mengetahui penghujung cerita walaupun pementasan belum sampai ke penghujung. Misalannya, dalam drama Hindraf akhir-akhir ini, kita bukan saja mengenali siapa pelakon-pelakonnya, tapi juga pihak berkuasa mengetahui siapa penulis skrip dan pengarah di belakang tabir.

Sebab itu, dalam titah ucapan Diraja, Seri Paduka menyatakan secara berterus-terang Baginda memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya.

Menurut Seri Paduka Baginda, soal kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan.

Dalam nada yang serius, Baginda menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Marilah kita sama-sama merenungi. Sama-sama menghayatinya.


ISU NEGERI:
ARANG BATU & PENDIDIKAN

Tuan Yang Dipertua
Lahirnya falsafah induk 1Malaysia, berpasak di bumi merdeka, dari cetusan idea Perdana Menteri telah dapat dirasai oleh kami di Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Prinsip mendahulukan rakyat telah dizahirkan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini membatalkan cadangan pelaksanaan projek janaan elektrik menggunakan kuasa arang batu di daerah Lahad Datu, di pantai timur Sabah. Walaupun projek tersebut sudah diputuskan untuk dilaksanakan, setelah dipindahkan dari Sandakan ke Lahad Datu, tetapi bantahan pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak pembangkang tidak diketepikan. Sebagai kerajaan yang prihatin dan pemimpin yang berjiwa rakyat, kita tidak memejamkan sebelah mata, kita tidak menutup sebelah telinga. Setiap bisikan suara rakyat di peringkat bawahan, sentiasa didengari pimpinan di atasan.

Hasilnya projek arang batu tersebut dibatalkan pelaksanaannya, dan kerajaan sedang mencari inisiatif baru sebagai alternatif untuk mencari sumber janaan, dalam usaha memastikan bekalan elektrik untuk keperluan rakyat dapat terus dipertingkatkan. Jelas, keputusan kerajaan ini adalah manifestasi bahawa falsafah 1Malaysia itu bukan lagi retorik. Kita bukan sekadar memikir soal keuntungan ekonomi dan politik, tapi juga mengambil kira untung nasib orang kampung sebagai penyokong kuat, dan pendokong setia pimpinan kerajaan.

Hari ini, suara nyaring membantah dan membangkang telah senyap. Pembangkang tersungkur dan tertiarap. Demikianlah cara kita mengurus dan mentadbir negara dan negeri, dalam menghadapi asakan bertalu-talu pembangkang, pada saat mahu melangkah mencapai status negara maju. Biar apa sekali pun yang diusahakan, atas nama dan prinsip pembangunan, kepentingan rakyat sentiasa didahulukan. Suka duka mereka, pahit maung kehidupan mereka, adalah juga kehidupan kita, di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi. Inilah kekuatan dan kelebihan kita yang tersanjung tinggi, yang membolehkan kita bertahan lama, menjangkau lebih lima dekad semenjak mencapai kemerdekaan.

Demikian juga halnya dengan soal pendidikan. Keluhan pendidik dari kalangan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang jumlahnya mencapai 13,000 orang di seluruh negara turut didengar, lantas YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam lawatan ke Tongod, Sabah, baru-baru ini telah mengumumkan penarikan balik surat penamatan kontrak yang dikeluarkan tahun lepas. Berita baik itu disambut rasa syukur, dan nyata melegakan kalangan GSTT yang telah mendambakan diri sepenuh jiwa raga, mendidik anak bangsa seikhlas hati, merentasi ujian waktu, menabur bakti di lembah dan lurah, bukit dan gunung, pulau dan tanjung.

Keputusan kerajaan tersebut sekali lagi mencernakan keindahan filosofi gagasan 1Malaysia yang mengutamakan pencapaian. Penyambungan kontrak GSTT dibuat kerajaan dengan maksud supaya agenda pembangunan pendidikan negara tidak terencat, sementara usaha-usaha jangka panjang dilaksanakan untuk menangani isu kekurangan guru terlatih, khususya di Sabah dan Sarawak.

Sebagai bekas pendidik yang pernah bertugas di pelbagai tempat, saya melihat keputusan menyambung kontrak GSTT ini, yang rata-rata asalnya di tempat sendiri, sebagai amat bertepatan. Guru tempatan lebih memahami karenah anak-anak tempatan. Guru tempatan lebih mengerti keadaan serta kekurangan sekolah, khususnya sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak, yang jauh ketinggalan dari segi prasarana -- rumah guru, bekalan air dan elektrik, telekomunikasi dan seumpamanya.

Sementara penyambungan kontrak GSTT ini hanya bersifat sementara, barangkali sesuai difikirkan oleh Kementerian Pelajaran langkah penyelesaian jangka panjang. Misalnya, mencari mekanisme pengambilan khas secara bermusim kepada guru-guru dari Sabah dan Sarawak, keutamaan penempatan di negeri sendiri selepas tamat pengajian perguruan mereka, dan meneliti sistem kenaikan pangkat bagi menjamin keseragaman dan mengelak rasa ketidakpuasan hati kalangan yang terlibat.

Saya membangkitkan persoalan mengenai pendidikan ini, seiring dengan titah ucapan Diraja yang mahukan supaya kualiti pendidikan terus diperkasakan. Seri Paduka Baginda telah bertitah, mengenai pentingnya transformasi pendidikan di peringkat sekolah khususnya berkaitan dengan kurikulum standard diperkenalkan supaya dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan. Dalam hal yang sama, Baginda mahu supaya kualiti dan kemahiran guru serta pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran dipertingkatkan lagi di samping mengekalkan sikap berdedikasi dan berintegriti.


ISU SIPITANG:
APMM & BANJIR

Tuan Yang Dipertua
Perjalanan waktu semakin mendewasakan kita. Sipitang turut menikmati limpahan kemakmuran sebagaimana diharapkan setiap orang. Kita maju dan membangun lantaran adanya jaminan dari segi keselamatan, juga kerana adanya sokongan kuat daripada rakyat sejagat. Merentasi situasi ini, kita dihadapkan pula dengan hal-hal yang dilihat kecil tapi impaknya besar. Yang saya maksudkan ialah operasi oleh agensi kelautan kita, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Sipitang dalam zon Laut China Selatan di pantai barat Sabah, berdekatan Teluk Brunei dan bersempadan perairan WP Labuan, tapi jauh dari sempadan antarabangsa Filipina, Indonesia mahupun Vietnam.

Mutakhir ini saya mendapat beberapa aduan daripada nelayan tempatan yang ditahan oleh penguatkuasa APMM, kononnya atas kesalahan menangkap ikan. Nelayan ditahan kerana menangkap ikan. Bunyinya pelik, tetapi benar. Dan itulah yang berlaku di Sipitang. Nelayan tradisional yang sedang menangkap ikan diperiksa dan ditahan agensi maritim ini, kemudian diserahkan ke balai polis untuk siasatan. Bot ditunda ke jeti, hasil tangkapan disita. Bila siasatan dijalankan, tiada kesalahan sebenarnya dilakukan. Tiada asas untuk diambil tindakan. Akhirnya, si nelayan tadi dilepaskan setelah sehari dua meringkuk di lokap.

Demikianlah nasib si nelayan tempatan, yang bukan saja bertarung nyawa dilambung ombak yang membadai, tapi juga berhadapan karenah penguatkuasa maritim yang tidak bijaksana.

Nelayan kecil pesisir pantai ini rezekinya hanya di laut. Sewajarnya mereka dibantu dan dilindungi. Agensi penguatkuasa seperti APMM yang perkasa itu sepatutnya mengawal perairan negara daripada pencerobohan nelayan asing, aktiviti pelanunan dan penyeludupan, selain kadangkala membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) apabila berlaku tragedi di laut.

Dan jika pun memeriksa bot-bot nelayan tradisional di pesisiran pantai, wajarlah amalan budibicara dipraktikkan. Bukankah kita dari tamadun bangsa yang sama, diikat kesopanan dan kesantunan, berbudi pekerti dan berhemah tinggi. Saya yakin dan percaya, jika prinsip sedemikian dapat diamalkan dalam rangka kita menjalankan tugas, hubungan antara penguatkuasa dengan masyarakat nelayan tempatan dapat diperkukuhkan lagi. Dan apabila wujud jaringan persefahaman dan kerjasama dua hala, kalangan nelayan tentu saja boleh membantu agensi penguatkuasa membanteras sebarang bentuk kegiatan yang menyalahi undang-undang yang berlaku di persekitaran mereka. Tapi jika mereka tidak dilayani dengan kewajaran selayaknya, tentu saja hati kecil mereka menjauh, dan memencilkan diri.

Natijahnya, marilah kita bersama-sama melihat hal ini dari sudut yang positif, kerana niatnya bukan untuk mengkritik semata-mata, tapi memperbetulkan keadaan. Supaya semangat nelayan tempatan terus terapung dan tidak tenggelam, selagi ada kudrat berpanas mencari rezeki halal biarpun bersabung nyawa di laut yang ombaknya tidak pernah tidur.

Dari laut, saya beralih ke daratan. Isu banjir turut melanda kawasan Sipitang yang dijajari aliran Sungai Padas dan beberapa sungai lain, dari Beaufort hingga ke Lumadan, Weston dan Sindumin. Purata banjir melanda kawasan Sipitang empat kali setahun. Dalam kejadian banjir terbaru pada bulan Februari lepas, ratusan penduduk dari beberapa kampung terjejas teruk. Ia dikatakan antara yang terburuk seingat penduduk. Sebahagian mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan diberikan bantuan makanan, sebagaimana biasa disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada setiap mangsa banjir.

Penduduk yang terjejas ini terdiri daripada petani dan penternak, justeru bencana banjir menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan. Kawasan pertanian musnah, ternakan hilang dan mati. Apabila pulang ke rumah, banyak harta-benda juga musnah dan tidak dapat digunakan selain terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan secara sendirian.

Sementara kerajaan negeri dan wakil rakyat membantu mangsa-mangsa banjir ini menggunakan dana yang ada, kita turut merayu kepada Kerajaan Persekutuan agar sudi apa kiranya menimbangkan pemberian wang ehsan sebanyak RM500 seorang kepada mangsa-mangsa banjir di Sabah sebagaimana diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di Semenanjung.

Kita percaya bantuan wang ehsan sedemikian akan banyak membantu penduduk yang terjejas akibat banjir. Banyak maknanya buat mereka. Sekali gus meyakinkan mereka betapa mereka juga tidak dianaktirikan oleh Putrajaya biarpun berada jauh di seberang Laut China Selatan.

Menyentuh hal ini juga, cadangan jangka panjang menyelesaikan masalah banjir di sepanjang jajaran Sungai Padas ini telah difikirkan, iaitu dengan meluruskan dan memperdalamkan sungai tersebut, bagi melancarkan aliran air terus ke laut. Jabatan Pengairan dan Saliran difahamkan masih menjalankan kajian mengenainya, justeru diharapkan projek berkenaan mendapat pembiayaan daripada Kerajaan Pusat kelak.

PELAN TRANSFORMASI
KERAJAAN

Tuan Yang Dipertua
Harapan Seri Paduka Baginda agar Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan akan memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat, sewajarnya menjadi renungan kita bersama, kerana ia juga sebenarnya harapan kita semua, untuk menikmati peningkatan dalam mutu kehidupan, antaranya dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam.

Mewakili rakan-rakan Ahli Yang Berhormat dari Sabah dan Sarawak, saya ingin mengambil ruang ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh untuk metransformasikan landskap sosial dan ekonomi Negara, bagi menangani cabaran-cabaran masakini dan akan datang.

Saya percaya, usaha ini menjurus kepada matlamat memastikan Malaysia mencapai wawasan untuk menjadi Negara maju menjelang 2020. Program Transformasi Ekonomi di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) tentunya akan memastikan Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Bagaimanapun, Model Baru Ekonomi yang berpaksikan kepada 3 prinsip asas termasuklah `inclusiveness' (dengan izin) memerlukan supaya semua kekayaan yang bakal dinikmati menjelang 2020 dirasai bersama oleh semua lapisan masyarakat, termasuklah mereka yang miskin dan berpendapatan rendah yang sebahagian besarnya adalah merupakan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Untuk mencapai pendapatan per kapita sebanyak USD15,000 menjelang 2020, Sabah memerlukan kadar pertumbuhan ekonomi purata setahun sebanyak tidak kurang daripada 18% bagi tempoh 10 tahun akan datang. Dan untuk mencapainya, dokongan padu daripada Kerajaan Pusat amat diperlukan, memandangkan landskap ekonomi terbuka Sabah sentiasa dipengaruhi keadaan ekonomi global dan serantau.

Ketika melangkah menuju destinasi itu, yang jaraknya sekitar sembilan tahun lagi dari sekarang, segala hambatan yang merintangi perjalanan hendaknya diselesaikan peringkat demi peringkat. Antaranya, kos menjalankan perniagaan yang agak tinggi di Sabah secara relatifnya dan kekurangan kemudahan infrastruktur yang efisyen. Kekurangan infrastruktur yang cekap telah menyumbang kepada kos yang tinggi untuk menjalankan perniagaan di Sabah. Dalam konteks yang lebih luas, kesan langsung daripada kos menjalankan perniagaan di Sabah yang secara relatifnya lebih tinggi telah mengakibatkan kos sara hidup di negeri kami juga menjadi jauh lebih tinggi, iaitu dianggarkan di antara 15% sehingga 20% lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Justeru, Tuan Yang Dipertua, seandainya Kerajaan serius untuk meningkatkan pendapatan, kualiti hidup dan tahap sosioekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak, maka di sinilah fokus harus ditumpukan, dan di sinilah juga keiklasan Kerajaan dapat diukur terutamanya dalam menzahirkan konsep 1Malaysia.

Usaha-usaha dan pendekatan proaktif yang menjurus kepada penurunan kos sara hidup, misalnya mengurangkan harga barang keperluan, hendaknya difikirkan oleh para bijaksana, kerana ia mampu memberi impak langsung yang besar kepada penduduk luar bandar. Seingat saya pada tahun lepas, kerajaan ada mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta pada tahun 2010 dan RM200 juta pada tahun 2011 untuk mengurangkan harga barang-barang keperluan di luar badar di Sabah. Sementara kita menyambut baik usaha tersebut, kita juga menitipkan harapan agar langkah penyelesaian jangka panjang dapat difikirkan. Ini kerana penyediaan peruntukan sedemikian dilihat bersifat sementara, kerana ia lebih merupakan langkah `piecemeal' dan `adhoc' (dengan izin).

Kepada agensi berkaitan, kita mengharap isu ini dilihat secara menyeluruh, apakah punca yang menjadi penyebabnya, misalannya aspek rantaian lojistik, tarif harga minyak bagi pengangkutan kargo dan seumpamanya. Demikian juga dengan dasar-dasar atau polisi yang dianggap kolot dan lapuk, seperti dasar kabotaj dalam sektor perkapalan domestik yang mencetuskan polemik tidak lama dulu, supaya ia seiringan dengan langkah-langkah meliberalisasikan ekonomi negara. Kita mesti berani mengambil tindakan-tindakan radikal jika benar-benar serius mahu mentranformkan negeri Sabah ke mercu kegemilangan. Biarlah gagasan 1Malaysia ini bukan sekadar slogan dan omongan, bukan menjadi bahan cemuhan dan lelucon oleh pembangkang. Biarlah 1Malaysia ini kita hayati, kita zahirkan, kita terjemahkan, untuk sebuah rumpun bangsa Malaysia.

Berkisah tentang transformasi ekonomi, kita tidak dapat lari daripada realiti betapa aspek kesihatan tidak harus diketepikan. Sabah dan Sarawak, seperti dimaklumi semua, keadaan geografinya yang luas dan topografi yang berbukit-bukau, dihuni penduduk yang berselerakan di merata lembah di luar bandar, memerlukan perhatian khusus dalam pembangunan kesihatan. Jurang perbezaan dengan di Semenanjung begitu ketara, justeru perlu diseimbangkan. Petunjuk-petunjuk kesihatan memperlihatkan tahap kesihatan di Sabah dan Sarawak jauh lebih daif berbanding Semenanjung, dan jauh lebih merunsingkan berbanding piawaian antarabangsa. Petunjuk seperti nisbah doktor-penduduk, nisbah jururawat-penduduk, kadar kematian bayi, jumlah klinik luar bandar berbanding penduduk, akses kepada kemudahan kesihatan di luar bandar, dan sebagainya, bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah sangat membimbangkan.

Pada hari ini, masih terdapat penduduk kampung, termasuk di kawasan saya Sipitang, yang terpaksa berjalan kaki berhari-hari, atau berperahu menyusuri sungai untuk mendapatkan rawatan. Oleh yang demikian, saya ingin menyarankan kepada kerajaan agar menggubal pelan tansformasi kesihatan bagi Negeri Sabah dan Sarawak, selaras usaha memastikan setiap warga luar bandar di kedua-dua negeri di seberang Laut China Selatan ini, mempunyai akses kepada rawatan kesihatan dengan seberapa mudah yang boleh sebagai pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan dan penghayatan gagasan 1Malaysia. Pelan transformasi ini harus mengambil kira bukan sahaja pembangunan ratusan klinik-klinik desa yang diperlukan, tetapi juga kelengkapan dan kakitangan yang mencukupi. Pelan tersebut juga harus menitikberatkan pembangunan bidang-bidang kepakaran kesihatan dan hospital-hospital umum di Bandar-bandar dan pekan-pekan utama di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.

Tuan Yang Dipertua,
Mengakhiri ucapan, marilah kita bersama-sama merenungi peringatan Seri Paduka Baginda kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini supaya sentiasa mempamerkan tingkah laku terpuji dan berbahas dengan tertib, dengan menyumbangkan pemikiran yang bernas serta sentiasa melaksanakan tanggungjawab, sebagaimana diamanahkan dan diharapkan oleh rakyat yang memilih kita. Hendaknya, jangan kita lupa bahawa kita sentiasa diperhati, di setiap langkah perjalanan kita, dalam setiap tindak-tanduk kita.

Sekian, saya mohon menyokong!

Share |