SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan set jersi kepada Surinah karim ketua pasukan wanita fustal Lumadan di majlis tersebut.
TUAH…Sapawi bersama barisan pimpinan Umno Sipitang menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah basikal kepada salah seorang ahli Umno di majlis tersebut.
SOKONGAN PADU…Sebahagian pimpinan dan ahli Umno Zon Padas Damit dan Bengkalalak yang hadir pada mesyuarat tersebut.
SEMANGAT…Sapawi dan Kamarlin bersama barisan pimpinan Umno sipitang bersemangat menyanyikan lagu Umno pada majlis perasmian tersebut.
CERIA…Sebahagian AJK Umno Wanita Sipitang dan ahli Umno Sipitang pada perasmian mesyuarat cawangan Umno berkelompok Zon Suasa dan Kebajang.
BEAUFORT: Ketua cawangan Umno perlu memastikan ahli mereka khususnya generasi muda telah mendaftar sebagai pengundi.
Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata sesebuah cawangan tidak akan bermakna jika ahlinya masih ada yang belum mendaftar sebagai pengundi meskipun telah layak.
“Tiada guna kita mempunyai ahli yang ramai jika mereka tidak mendaftar sebagai pengundi,” katanya ketika merasmikan mesyuarat cawangan Umno berkelompok bagi Zon Kebajang, Suasa, Padas Damit dan Bengkalalak dekat sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Ketua Wanita Umno Sipitang datuk Surinam Sadikun, Ketua Pemuda Umno Sipitang Hafez Yamani Musa, Ketua Puteri Umno Sipitang Dayang Maimunah Sidek dan Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad.
Sapawi berkata saranan agar cawangan berusaha menambah ahli turut memfokuskan agar ahli mereka yang layak turut didaftar sebagai pengundi.
Katanya adalah menjadi tanggungjawab kepada cawangan bagi memastikan ahlinya telah mendaftar sebagai pengundi.
“Amat penting bagi kita memastikan ahli yang layak telah mendaftar dan mereka yang telah mendaftar pula perlu bertanggungjawab untuk mengundi kerana hanya yang berdaftar sebagai pengundi yang bakal menentukan masa depan negara,” katanya lagi.
Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata barisan kepimpinan parti sentiasa menghargai peranan yang diberikan oleh ketua-ketua cawangan.
Katanya sebagai pemimpin pada peringkat akar umbi peranan dan sumbangan mereka adalah amat dihargai.
“Peranan peringkat akar umbi amat penting dan Umno sendiri meletakkan akar umbi sebagai keutamaan,” katanya lagi.
Beliau berkata kekuatan dan kemantapan Umno turut bermula pada peringkat akar umbi “dan kerana itu keutamaan diberikan oleh Umno.”
Bagaimanapun beliau berkata kekuatan dan kemantapan itu akan mudah digugat jika pemimpin peringkat akar umbi memilih untuk tidak melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing.
Menurutnya pemimpin akar umbi termasuklah ketua cawangan harus tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai perkara utama.
“Setiap kita sebagai anggota Umno perlu ikhlas dalam melaksanakan perjuangan Umno...parti kita mempunyai etika perjuangannya dan inilah yang harus kita taati.
“Elak daripada dipengaruhi dan dipergunakan sebaliknya kita harus sentiasa meletakkan landasan perjuangan parti sebagai keutamaan,” katanya lagi.