Monday, April 25, 2011

Anugerah Kecemerlangan Pelajar Weston, Beaufort.


DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Pengetua SMK Weston Samat Jumat di majlis tersebut.

TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh MA Rahman (kiri) dan Samat menyampaikan sijil kepada Mohd Tarmidzi Muslim sempena mini konvokesyen pra-siswazah pelajar STPM 2010 di majlis tersebut.

TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh MA Rahman (kiri) dan Samat menyampaikan sijil kepada Noorsyafiq Saddam Talip sempena mini konvokesyen pra-siswazah pelajar STPM 2010 di majlis tersebut.

WESTON (Beaufort): Transformasi pendidikan perlu dilaksanakan sebagai usaha mewujudkan sekolah berprestasi tinggi di negeri ini.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata ketiadaan sekolah berprestasi tinggi di negeri ini merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi.

“Usaha bukan sahaja perlu diperhebat tetapi kita harus melaksanakan transformasi pendidikan,” katanya pada majlis anugerah kecemerlangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Weston di sini kelmarin.

Bagaimanapun beliau berkata tanggungjawab mewujudkan sekolah berprestasi tinggi tidak hanya dipikul oleh warga pendidik tetapi juga di kalangan ibu bapa.

Katanya ibu bapa perlu memperhebatkan lagi sokongan mereka khususnya dalam menambah minat serta dorongan kepada anak-anak bagi meningkatkan usaha mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam pendidikan.

Menurutnya sasaran satu graduan satu rumah pastinya akan tercapai jika ibu bapa dan guru terus bekerjasama bagi memperkasakan pendidikan pelajar.

Beliau berkata dengan Sabah yang masih jauh ketinggalan dalam pendidikan khususnya di luar bandar tentunya memberi cabaran kearah mewujudkan sekolah berprestasi tinggi.

“Begitupun dengan adanya kerjasama erat antara ibu bapa dengan guru, ianya bukan mustahil untuk dicapai tetapi kita harus melaksanakan transformasi pendidikan,” katanya.

Sapawi berkata anugerah kecemerlangan merupakan salah satu ruang ke arah melahirkan semangat tinggi kepada pelajar bagi mencapai keputusan yang terbaik.

Menurutnya ibu bapa harus menyedari bahawa program seumpama itu sebenarnya memberi sokongan dan dorongan kepada pelajar untuk lebih berusaha.

“Majlis seumpama ini tidak begitu mendapat perhatian daripada ibu bapa dan sikap itu sebenarnya membantutkan sokongan serta dorongan kepada pelajar,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah wakil Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort Ismail Awang Damit, Pengetua SMK Weston Samat Jumat dan pengerusi PIBG SMK Weston MA Rahman Datuk Sulaiman dan Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah.

a

Share |