Thursday, April 21, 2011

Melawat Kawasan Banjir Dun Lumadan


BERBINCANG...kelihatan Sapawi dan penduduk setempat sedang berbincang dengan peduduk setempat ketika melawat kampung Brumbai.

JABANG...Sapawi (dua kiri) dan rombongan bersama guru dan murid-murid SK Jabang Beaufort ketika melawat sekolah itu.

BERPERAHU...Rombongan Ahli Parlimen Sipitang dan agensi kerajaan turut menggunakan perahu dalam lawatan ke beberapa kampung di Dun Lumadan baru-baru ini.

TERJEJAS.. Rumah penduduk di kampung yang dilawati masih ditakungi air.

PENERANGAN...Sapawi (empat kanan) dan Kamarlin (empat kiri) berbincang dan mendapatkan pennjelasan Wong semasa membuat tinjauan ke kampung-kampung di kawasan Dun yang dilanda banjir baru-baru ini

RAKYAT Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Demikianlah slogan yang menagih kesungguhan dan komitmen pemimpin- pemimpin yang berjuang di bawah panji-panji kerajaan Barisan Nasioanal (BN) sebagaimana harapan yang tersirat di hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memahami suara hati rakyat jelatanya.

Dalam apa keadaan sekalipun, rakyat yang menunjangi kuasa kerajaan melalui suara undi mereka itu, perlu didekati dan diutamakan. Sama ada dalam suasana kegirangan dan kegembiraan pada majlis-majlis perayaan atau pun dalam situasi kesedihan di kala musibah menimpa. Biarlah ketika suka dan duka pemimpin dan rakyat tetap bersama.

Menzahirkan harapan itu Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Kamarlin Hj Ombi, yang menggalas amanah dan tanggungjawab itu, berlapang dada penuh simpati melangkah mesra melawat beberapa kampung yang terjejas berikutan dilanda banjir di kawasan Dun Lumadan baru-baru ini.

Sapawi berkata tujuan lawatan itu ialah bagi melihat sendiri dan seterusnya mengenal pasti kesan kerosakan, kerugian dan kesulitan yang dihadapi penduduk berikutan bencana itu baru-baru ini.

Pada hari ini kita meninjau kawasan yang terjejas selepas dilanda banjir. Lawatan bermula dari Kampung Lago, Suasa, Nabahan, Kukup, Jabang, Bangkalalak, Brumbai dan Mantulud.

Kawasan terbabit katanya, sering dinaiki air dan ada beberapa kampung dilanda banjir sepanjang bulan pada tahun ini dan ianya turut menjejaskan urusan seharian penduduk akibat jalan raya di kawasan rendah terputus hubungan sejak beberapa lama.

Melalui kuasa yang diamanahkan rakyat, beliau menggerakkan jentera kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya dan badan-badan sukarelawan seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), untuk sama-sama meredah sungai, menapak di jalan becak berlumpur dan berair, meninjau keperitan penduduk di pelusuk kampung dan pedalaman.

Turut serta dalam lawatan kedua wakil rakyat itu, Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Tin, Ketua Polis Daerah DSP Mustaffa Maarof Mustaffa, Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Beaufort, Rokiah Salleh, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Ahmad Said, Pegawai perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Dun Lumadan, Matbali Musah, Pemimpin Kemajuan Rakyat Dun Lumadan, Hj Ahmad Momin, Ketua Bahagian PBS Lumadan, Hj Roslan Muharam, anggota polis, kakitangan JKR, JBPM, JKM, JPAM dan pemimpin masyarakat setempat.

Sapawi berkata, tinjauan itu telah memberi gambaran terhadap bentuk bantuan dan tindakan yang perlu diambil oleh pihak berkaitan khususnya agensi kerajaan.

Kita telah berbincang dengan angensi berkaitan khususnya JKM bagi mengagihkan bantuan secara berkelompok kepada penduduk dalam sedikit masa lagi.

Dalam pada itu pihak kita juga telah berbincang dengan pegawai daerah untuk mencadangkan semua jalan yang terjejas diserahkan kepada JKR bagi memudahkan pihak kita mendapatkan peruntukan dan kelulusan kerajaan meninggikan jalan di beberapa kawasan,” katanya.

Dalam program lawatan yang penuh kemesraan itu, kehadiran kedua pemimpin pilihan rakyat itu, sudah tentu sedikit sebanyak merawat emosi kesedihan penduduk yang menghadapi kesulitan dan menanggung kerugian akibat banjir.

Sebagai pemimpin yang menjadi harapan rakyat, Sapawi dan Kamarlin menyelami hati nurani penduduk di saat menghadapi uijan Tuhan dengan penuh simpati.

Saya memahami kesulitan yang hadapi penduduk justeru itu sebagai wakil rakyat saya berharap semua agensi yang terlibat akan terus komited terhadap keperluan penduduk,” kata Sapawi sambil menngingatkan semua pemimpin masyarakat khususnya pengerusi JKKK mengenal pasti penduduk tidak tercicir daripada menerima bantuan itu.

Sementara itu Kamarlin berharap agar semua penduduk yang terjejas dan mengalami kesulitan dan kerugian agar bersabar dan terus menaruh keyakinan bahawa kerajaan akan terus membela nasib mereka.

Rakyat perlu bersabar kerana masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan sekelip mata tetapi walau bagaimanapun kami sebagai pemimpin akan terus berusaha memperjuangkan kepentingan dan kebajikan penduduk. Justeru itu berilah sokongan dan keyakinan bahawa kerajaan amat prihatin terhadap kesulitan penduduk negara ini,” katanya.

Semoga kesudian ketua pentadbir daerah dan beberapa ketua jabatan terbabit turun padang bersama dua wakil rakyat ini menghirup angin kampung dan udara Sungai padas itu, akan menyuntik kesedaran dan keinsafan terhadap peranan dan tanggungjawab mereka sebagai agen pelaksana kerajaan.-Oleh BAKAR ESAH.

Share |