Thursday, April 7, 2011

Mesyuarat Cawangan Berkelompok Zon Lupak


SUMBANGAN…Sapawi dan Kamarlin menyampaikan sumbangan wang eshan kepada salah seorang penerima warga emas di majlis tersebut.

BANTUAN…Sapawi bersama Kamarlin menyampaikan replika kunci kepada salah seorang penerima Skim Bantuan Rumah kawasan Lupak, Beaufort di majlis tersebut.

SOKONGAN PADU…Sebahagian pimpinan dan ahli Umno Sipitang yang menghadiri perasmian mesyuarat berkelompok tersebut.

LUPAK (Beaufort): Kesetiaan terhadap perjuangan dan barisan kepimpinan merupakan salah satu asas kekuatan serta kemantapan Umno.

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata prinsip yang digunapakai dan diamalkan oleh ahli Umno itu jugalah yang membolehkan Umno kekal sehingga ke hari ini.

“Kesetiaan terhadap perjuangan dan barisan kepimpinan telah mendorong ahli parti pada semua peringkat bagi menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Perjuangan kita meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan kebijaksanaan barisan kepimpinan memastikan rakyat terus yakin dan percaya kepada Umno,” katanya pada perasmian mesyuarat berkelompok cawangan Umno Zon Lupak di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Ketua Umno Zon Lupak Saidi Manan, Ketua Puteri Umno Sipitang Dayang Maimunah Sidek, Timbalan Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah.

Sapawi berkata barisan kepimpinan Umno adalah barisan yang begitu mengutamakan rakyat dan amalan ini telah digunakan sejak dahulu lagi.

Beliau berkata kesungguhan dan komitmen yang diperlihatkan itu telah meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap Umno.

“Umno telah melalui pelbagai cabaran namun hasil kesetiaan ketika kepada perjuangan dan barisan kepimpinan, membolehkan Umno terus kekal dan terus mendapat kepercayaan serta sokongan daripada rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun Sapawi mengingatkan agar ahli Umno pada semua peringkat agar tidak lalai dan leka.

Katanya perjuangan utama parti iaitu kepentingan rakyat sebagai yang paling utama harus tidak berubah.

“Transformasi politik yang diseru oleh barisan kepimpinan parti agar dilakukan perlu dilaksanakan dengan kita mengekalkan kesetiaan perjuangan dan kepimpinan,” katanya lagi.

Beliau berkata peredaran masa dan kemajuan dunia ketika ini membuatkan transformasi politik perlu dilakukan.

Katanya transformasi politik perlu dilaksanakan sebagai usaha meningkatkan kesungguhan dan keazaman dalam memperjuangkan rakyat.

Share |