SIDANG AKHBAR…Sapawi diperhatikan oleh Pengarah Penerangan Sabah Almain Ajirul (kanan) , Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat dan Setiausaha Induk Festival GATA Sipitang Sidek Awang Adi sedang menjawab pertanyaan wartawan sewaktu sidang akhbar tersebut.
KOTA KINABALU: Festival Gasing dan Tamau Besar (Gata) Sipitang tahun ini dimula dengan program Seminar Budaya dan Warisan Borneo akhir bulan ini.
Seminar pada 28 April ini di Dewan Sri Kinabalu Lembaga Tabung Haji di sini bakal disertai lebih 500 peserta termasuklah daripada Brunei, Indonesia dan juga Sarawak, Semenanjung selain Sabah sebagai tuan rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Gata Sipitang 2011, Datuk Sapawi Ahmad berkata tujuh kertas kerja akan dibentangkan pada seminar tersebut.
Katanya seminar itu diadakan bagi melestarikan budaya dan warisan masyarakat selain mempromosikan Gata Sipitang pada tahun ini.
“Tema seminar 1budaya 1 warisan di mana seminar bermula pada jam 7.00 pagi hingga 4.30 petang,” katanya lagi.
Selain Sapawi enam lagi pembentang kertas kerja termasuklah Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli, Dekan Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Haji Inon Shaharudin, Narawi Rashid dari Sarawak dan Maidon Haji Sisak dari Persatuan Gasing Sipitang serta wakil daripada Brunei dan Kalimantan Indonesia.
Sapawi berkata seminar itu bakal dirasmikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim.
Seminar tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Festival Gata Sipitang 2011 dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah dan Jabatan Penerangan Negeri Sabah.