Friday, June 10, 2011

Persidangan Umno Sipitang


DEMOKRASI…Sebahagian perwakilan Umno Sipitang sedang mendaftar untuk memilih perwakilan tujuh bahagian ke persidangan Umno pusat.

TRADISI…Hishammuddin diperhatikan oleh Sapawi sedang melihat persembahan “Bambo Band” dari suku kaum Lundayeh.

CERIA…Ketua Wanita PBS Negeri Datuk Jamilah Sulaiman (kanan) dan Setiausaha BN Sabah yang juga Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Rahman Dahlan (Lima Dari Kanan) bersama pimpinan dan perwakilan Umno yang hadir di majlis tersebut

SOKONGAN…Sebahagian perwakilan pemuda dan Perwakilan Umno Sipitang.

PADU…Hishammuddin bersama Sapawi, Witrom, Kamarlin dan Alidin sambil diperhatikan barisan pimpinan Umno Sipitang memegang erat tangan sebagai tanda padunya Umno di Sabah.

SIPITANG: Umno bukan parti untuk orang bersikap rakus yang hanya mahukan takhta dan kuasa.

Sebaliknya perjuangan Umno meletakkan keutamaan kepada rakyat kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussin ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Sipitang di sini kelmarin.

“Perjuangan Umno bukan untuk melaga-lagakan kaum dan agama dan bukan juga untuk mereka bersikap rakus yang semata-mata hanya inginkan takhta dan berkuasa seperti yang diperlihatkan oleh pembangkang,” katanya.

Beliau berkata pembangkang hanya tahu berbohong dan sentiasa memperbodoh-bodohkan rakyat.

Hal ini, katanya boleh dilihat apabila pembangkang mengheboh-hebohkan kepada rakyat bahawa mereka akan menawan Putra Jaya pada 16 September tahun lalu.

Menurutnya apa yang berlaku ketika ini, apa yang dihebohkan oleh pembangkang tidak kesampaian.

Sehubungan dengan itu Hishammuddin menyeru agar barisan kepimpinan parti akan sentiasa mendekati akar umbi.

“Dekati rakyat dan selami nadi denyutan mereka…kita dengar sendiri masalah yang mereka hadapi dan berusaha mengatasinya menerusi jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya dan menambah ahli parti dan rakyat perlu disedarkan bahawa “kita mahu semangat perjuangan untuk mempertahankan Umno dalam konteks Barisan Nasional.”

Beliau berkata tiada guna jika memperolehi pangkat dalam parti namun parti tiada sokongan rakyat dan tidak dihormati.

Katanya jika itu berlaku ia sudah tentu memberi kesan kepada kekuatan parti di mana ia akhirnya akan hancur.

Sambil memuji semangat kekeluargaan yang jitu diperlihatkan oleh Umno Sipitang, beliau berharap semangat itu akan kekal dan berterusan.

Bagaimanapun Hishamuddin mengingatkan ahli parti agar tidak mudah terpengaruh sehingga bersikap emosi.

Sebelum itu Ketua Umno Bahagian Sipitang Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad berkata Umno Sipitang akan terus memastikan rakyat menyokong BN.

Katanya Umno bahagian itu juga telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ke-13 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

“Kita akan terus mendekati rakyat dan memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang,” katanya.

Seramai 766 perwakilan hadir pada mesyuarat persidangan tersebut di mana tujuh orang telah dipilih mewakili bahagian ke peringkat pusat.

Mereka termasuklah Abdul Rahman Mohd Noh yang memperolehi 416 undi, Ramli Awang Said (377), Anthony Liaw (367), Jaafar Jalap (363), Datuk Dr Yusof Yacob (358), Osman Ahmed (337) dan Ismail Kambar (260)

Hadir sama pada majlis tersebut Wakil Perhubungan Umno Negeri yang Juga Ketua Umno Kota Merudu Witrom Bahanda@Fikri, Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Setiausaha BN Sabah Datuk Rahman Dahlan, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad. Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa dan ketua Puteri Umno Sipitang Maimunah Sidek..

Share |