DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menerima cenderakenangan daripada Ketua Puteri Umno Sipitang Maimunah Sidek sejurus perasmian mesyuarat tersebut.
CERIA…Sapawi dan Kamarlin merakamkan kenangan bersama barisan pimpinan dan perwakilan puteri Umno Sipitang di majlis tersebut.
SIPITANG: `Fahami dan belajarlah dari sejarah perjuangan Umno.’
Itulah nasihat yang diluahkan oleh Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad kepada anggota Puteri Umno Sipitang ketika merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan bahagian itu di Dewan Mini Perpustakaan Sipitang kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah, Ketua Puteri Umno Sipitang Maimunah Sidek dan Wakil Perhubungan Puteri Umno Sabah merangkap Ketua Puteri Umno Papar Yantie Adam
Sapawi berkata dalam sejarah perjuangan Umno, penglibatan kaum wanita sememangnya tidak dinafikan.
Katanya kaum wanita turut memberi sumbangan bermakna ke arah memperkukuhkan Umno sehingga kekal ke hari ini.
“Peranan itu perlu difahami dan diteruskan...ketahuilah bahawa Umno tidak pernah perlekeh atau mengetepikan sumbangan serta peranan ahlinya termasuklah dari kaum wanita,” katanya dan menambah Puteri perlu tampil bagi memperkasakan lagi perjuangan Umno.
Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata Puteri sebagai barisan kepimpinan pelapis akan meneruskan perjuangan wanita.
Bagaimanapun beliau mengingatkan agar Puteri tidak bertindak membelakangkan perjuangan parti.
Katanya kerjasama dan persefahaman dengan pergerakan yang lain hendaklah diperkukuhkan.
“Setiap sayap Umno mempunyai peranan masing-masing dan begiulah juga dengan Puteri...kerjasama dan persefahaman penting bagi memperkukuhkan Umno,” katanya lagi.
Menurutnya antara tugas anggota itu ialah menarik golongan muda bukan hanya menyertai Umno tetapi menyokong serta mengundi Umno dan Barisan Nasional.
Beliau berkata golongan muda perlu sentiasa didekati dan tidak dibiarkan kerana golongan itulah yang bakal menjadi aset penting pada masa akan datang.
“Sebagai golongan muda, mereka mudah dipengaruhi dan kita perlu mendekati mereka agar mereka tidak tertipu dengan dakyah-dakyah,” katanya.