SOKONGAN PADU…Sebahagian perwakilan wanita Umno Sipitang menunaikan tanggungjawab parti pada mesyuarat tersebut.
DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Ahmad menerima cenderakenangan daripada Ketua Wanita Sipitang Datuk Surinam Sadikun di majlis tersebut.
MESRA…Sapawi bersalaman dengan perwakilan Wanita Umno yang hadir di majlis tersebut.
MANTAP...Sapawi bersama Kamarlin dan Ahmad merakam kenangan bersama AJK Wanita Umno Sipitang
CERIA…Sebahagian AJK Umno Bahagian dan perwakilan Wanita Umno Sipitang yang hadir di majlis tersebut.
SIPITANG: Peranan dan sumbangan wanita dalam memperkasakan kehebatan Umno sememangnya tidak dinafikan.
Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata peranan dan sumbangan itu amat perlu untuk diteruskan.
Bagaimanapun, beliau berkata, anggota wanita perlu melakukan transformasi bagi memastikan perjuangan parti akan lebih bermakna.
“Anggota wanita malah seluruh anggota parti perlu melakukan transfomasi politik seperti yang disarankan oleh barisan kepimpinan,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita Umno Sipitang di sini kelmarin.
Menurutnya bagi memastikan rakyat terus yakin dan percaya kepada Umno, transformasi itu perlu dilakukan.
Katanya anggota parti tidak dapat tidak perlu melakukan transformasi dalam mendekati rakyat dan bagi memastikan Umno terus di hati rakyat.
“Kita mahu Umno terus berada di hati rakyat…inilah tanggungjawab yang perlu kita laksanakan,” katanya lagi.
Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang menegaskan tentang pentingnya persefahaman dan semangat kerjasama di kalangan anggota termasuklah anggota wanita sendiri.
Katanya persefahaman dan kerjasama perlu diperkukuhkan bagi memastikan segala perancangan dilaksanakan dengan baik dan membuahkan hasil seperti yang dirancang.
Menurutnya meskipun pilihan raya masih jauh, namun anggota wanita perlu membuat persediaan lebih awal.
Beliau berkata persediaan itu termasuklah memperkukuh dan memperhebatkan lagi perjuangan yang sedia ada.
“Perjuangan Umno adalah untuk rakyat bukannya untuk kepentingan diri atau pihak tertentu…kita harus sentiasa berwaspada kerana ada pihak ketika ini sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan diri,” katanya dan menambah wanita perlu memperkasakan lagi perancangan bagi memastikan rakyat tidak beralih sokongan.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang kamarlin Ombi, ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun,Wakil Perhubungan Wanita Umno Sabah merangkap Ketua Wanita Kota Merudu Tinah Majawan, Ketua Puteri Umno sipitang Dayang Maimunah Sidek dan Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah.