TAHNIAH…Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Gasing Guwau Jaini Puasa (kiri) merakamkan kenangan bersama pemenang-pemenang pertandingan tersebut.
HEBAT…Pasukan Lawas A yang muncul juara bagi kategori regu terbuka pertandingan gasing pangkah sedang memperlihatkan kehebatannya ketika menentang Sipitang C pada peringkat akhir kejohanan tersebut.
JUARA…Sapawi menyampaikan piala dan wang tunai kepada Jamarut Hamit yang muncul juara kategori solo pertandingan gasing Guwau sempena GATA Sipitang.
MINAT…Sapawi dan Pengerusi Jawatankuasa pertandingan gasing pangkah Yassin Omar (dua dari kiri) merakamkan kenangan bersama peserta daripada Singapura
SIPITANG: Kehebatan Sipitang dalam permainan gasing sememangnya tidak dinafikan apabila menyapu bersih pertandingan Gasing Guwau Jemputan Festival Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang 2011 di sini.
Sipitang menyapu bersih bagi kategori solo dengan Jamarut Hamit muncul sebagai juara. Tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Mursidi Nantil dan Rahim Kudi.
Mereka masing-masing menerima RM200, RM150 dan RM100 berserta piala.
Bagaimanapun kecemerlangan Sipitang bagi ketagori perseorangan tidak mampu diikuti untuk kategori berpasukan apabila Sipitang hanya mampu menduduki tempat ketiga.
Kategori itu dimenangi oleh pasukan Merapok dari Sipitang bagi memenangi RM1,500 dan piala manakala tempat kedua dimenangi oleh pasukan Lawas juga dari Sarawak yang membawa pulang RM1,000 dan piala.
Sipitang yang menduduki tempat ketiga memenangi hadiah wang tunai RM600 dan juga piala.
Usaha Sipitang untuk menebus kehampaan itu turut tidak kesampaian bagi kategori regu terbuka pertandingan gasing pangkah jemputan apabila hanya menguasai tempat kedua dan ketiga.
Pasukan Lawas A menjadi penghalang kepada Sipitang untuk kategori itu apabila muncul juara bagi meraih wang tunai RM3,000 dan piala.
Sementara Sipitang C dan Sipitang B terpaksa berpuas hati menduduki tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000 berserta piala.
Kemenangan tempat ketiga Sipitang B turut dikongsi oleh pasukan Brunei yang juga menerima RM1,000 dan piala.
Namun kekecewaan tersebut ditebus bagi kategori regu kanak-kanak apabila Sipitang menyapu bersih tiga tempat teratas.
Sipitang A muncul sebagai juara untuk memenangi RM400 manakala Sipitang B tempat kedua dan memenangi wang tunai RM300.
Sipitang D bersama Labuan A menduduki tempat ketiga dan meraih wang tunai RM200.