Thursday, July 7, 2011

Lansaran GATA Sipitang 2011



WARISAN…Rumah Lansaran yang terletak di padang Pekan Sipitang.
JUARA…Sapawi bersama tetamu jemputan merakamkan kenangan bersama pasukan Mayu-Mayu yang muncul juara pada pertandingan lompatan Singkwot Lansaran.
SASARAN…Pasukan Naga Karamat yang melakukan lompatan tepat pada sasaran pada pertandingan lompatan Singkwot Lansaran GATA Sipitang 2011.

DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada pihak penganjur Mohamad Bakar di majlis tersebut.

SIPITANG: Pertandingan Lompatan Singkwot Lansaran Festival Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang bukan sekadar menyaksikan kumpulan Mayu-Mayu sebagai juara tetapi turut mencatatkan rekod pengunjung yang begitu mengejutkan.

Berdasarkan kepada catatan penganjur, seramai 85 ribu orang pelbagai kaum mengunjungi lansaran dan turut membuat lompatan singkwot namun kecemerlangan kumpulan Mayu-Mayu daripada Sipitang sukar untuk dihalang.

Mayu-Mayu menewaskan 23 kumpulan lain yang turut bersaing untuk memburu kejuaraan pertandingan tersebut.

Kejayaan muncul juara itu membolehkan Mayu-Mayu meraih hadiah wang tunai RM500 dan piala sementara saingan terdekatnya kumpulan Naga Karamat juga daripada Sipitang terpaksa berpuas hati di tempat kedua untuk meraih RM400 dan piala.

Kumpulan Penjulung Weston pula menduduki tempat ketiga untuk meraih RM300 dan piala.

Pengerusi penganjur Mohammad Bakar berkata penyertaan kumpulan pada pertandingan itu amat membanggakan.

“Tetapi agak mengejutkan apabila kami mencatatkan kehadiran pengunjung seramai 85 ribu orang yang turut mencuba membuat lompatan,” katanya lagi.

Katanya catatan dibuat berdasarkan kehadiran sejak GATA Sipitang 2011 secara rasminya bermula pada 30 Jun lalu.

Mohammad menyifatkan catatan selama tiga hari itu sebagai mengejutkan tetapi menggembirakan dan sambil menambah membukitkan Lansaran telah berjaya membawa konsep 1 Malaysia bersesuaian dengan temanya “1 Lansaran, 1 Budaya, 1 Malaysia”.

“Kami berbangga dengan kehadiran itu kerana ia membantu kami mempromosikan lompatan singkwot lansaran…lompatan ini merupakan salah satu jenis sukan tradisi yang boleh dikomersialkan,” katanya lagi.


Share |