SOKONGAN…Sebahagian penduduk setempat yang hadir di majlis tersebut.
BANTUAN…Sapawi menyampaikan bantuan beras kepada salah seorang yang layak menerima di majlis tersebut.
HADIAH…Sapawi menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang program agama di majlis tersebut.
SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Abidin Ali Hassan Pegawai Tadbir Agama (Jheains) Beaufort menyampaikan sumbangan dua tikar kepada Pengerusi Masjid Kg. Batandok, Lubak di majlis tersebut.
FORUM…Mini forum yang dipengerusikan oleh Abidin (kiri) dan ahli panel dari kanan Iman Muda (Astro Oiasis) Ali Khairudin Marif, Abdul Razak dan Riduan.
BEAUFORT: Asas utama dalam melakarkan kejayaan adalah dengan membudayakan ilmu dalam kehidupan seharian.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata setinggi manapun ilmu dicapai tetapi tidak membuayakan dalam kehidupan, seseorang itu tidak akan mampu mencapai kejayaan.
“Membudayakan ilmu adalah asas kejayaan dalam kehidupan dan kerana itu setiap kita wajar menjadikan ilmu sebagai budaya kehidupan,” katanya pada majlis perasmian Program Keluarga Sakinah dan Ibu Bapa sempena Kenduri Sekampung Skuad Ziarah Masjid Kampung Batandok, Lubuk di sini kelmarin.
Beliau berkata agama sendiri menuntut umatnya untuk berusaha menimba ilmu dan menjadikannya sebagai budaya dalam kehidupan.
Katanya ia juga sebagai benteng utama daripada menuju kesesatan dan mengajak untuk tidak melakukan apa yang dilarang oleh agama.
Menurutnya kerajaan sendiri berusaha untuk memastikan rakyat terus berpeluang menimba ilmu termasuklah ilmu keagamaan.
“Kerajaan sentiasa memberikan sokongan menerusi pemimpin setempat terhadap program-program yang dapat menambahkan ilmu dan inilah termasuklah program keagamaan,” katanya dan menambah ketika ini pelbagai program ilmu dihidangkan kepada rakyat termasuk di media elektronik.
Program ilmu keagamaan itu termasuklah seperti Imam Muda (Astro), Forum Perdana (TV1) dan Al-Kuliyah (TV3), katanya.
Bagaimanapun Sapawi menegaskan adalah amat penting budaya ilmu dalam kehidupan ini diserap selain didedahkan kepada generasi muda.
Katanya generasi muda ketika ini dihidangkan pelbagai cabaran yang ternyata menghalang mereka untuk menimba ilmu.
“Jika kita mengabaikan usaha ini sudah tentu generasi muda kita akan berdepan dengan kemunduran…kita perlu memberi perhatian terhadap perkara ini,” katanya lagi.