Monday, August 1, 2011

PBS Lumadan: Kekalkan Calon Ahli Parlimen Sipitang dan Adun Lumadan



SOKONGAN PADU…Sebahagian ahli PBS yang hadir di majlis tersebut.
MESRA…Sapawi dan Jahid amat mesra dengan ahli PBS yang hadir pada mesyuarat tersebut.
CERIA…Sapawi dan Ruslan berbual mesra dengan sebahagian ahli PBS Lumadan.
AHLI BARU…Ketua PBS Lumadan Ruslan Muharam diperhatikan oleh Sapawi menyerahkan borang keahlian baru yang kebanyakan daripada parti pembangkang kepada Ketua Pemuda PBS Pusat Datuk Jahid Jahim

INTIM…Jahid diringi Sapawi dan Ruslan bersalaman dengan ahli PBS sejurus tiba di majlis tersebut.

BEAUFORT: Parti Bersatu Sabah (PBS) N.27 Lumadan sebulat suara menyokong agar Ahli Parlimen Sipitang dan wakil rakyat Lumadan dikekalkan pada pilihan raya akan dating.

Keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat agung PBS N27 Lumadan di sini di mana ianya dirasmikan oleh Ketua Pemuda PBS Datuk Jahid Jahim. Mesyuarat diadakan di Dewan Mini Perpustakaan di sini.

Ahli Parlimen Sipitang ketika ini ialah Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad dan wakil rakyat Lumadan pula ialah Kamarlin Haji Ombi. Sapawi dan Kamarlin merupakan ahli Umno.

Ketua Bahagian PBS N.27 Lumadan Ruslan Muharam berkata bahagian itu sebulat suara menyokong agar Sapawi dan Kamarlin dikekalkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

“Kita sebulat suara menyokong agar kedua-duanya dikekalkan sebagai calon BN pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Menurutnya sokongan itu memperlihatkan persefahaman dan kerjasama erat yang terjalin antara parti komponen.

Katanya semangat kerjasama dan perpaduan antara parti amat menyakinkan dan ia merupakan salah satu faktor rakyat terus menyokong BN.

“Kerjasama dan perpaduan antara parti komponen amat menyakinkan tanpa sebarang keraguan atau syak wassangka,” katanya lagi.

Sementara itu Sapawi yang hadir pada perasmian mesyuarat tersebut ketika ditemui berkata kerjasama antara parti komponen dalam bahagian Sipitang sememangnya membanggakan.

Katanya kerjasama dan perpaduan yang terjalin itu membolehkan perancangan yang direncanakan untuk rakyat dilaksanakan dengan baik.

“Sebarang masalah yang wujud diselesaikan dengan semangat setiakawan…keutamaan kita ialah memastikan rakyat terus menyokong BN,” katanya lagi.

Menurutnya semangat itulah juga akan digunakan apabila menjelangnya pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun beliau mengingatkan agar anggota PBS bahagian itu sentiasa berwaspada dengan pihak tertentu yang cuba menghancurkan perpaduan dan kerjasama antara parti komponen.

Katanya pihak terbabit sentiasa menaburkan fitnah untuk mempengaruhi dan seterusnya mahu mendapatkan sokongan.

Sapawi mengucapkan tahniah kepada PBS Lumadan yang mengekalkan Ruslan sebagai ketua bahagiannya tanpa pertandingan.

Dalam pada itu Jahid dalam ucapannya berkata PBS memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan BN pada pilihan raya lalu.

Katanya komitmen tinggi dan semangat kerjasama antara parti komponen membolehkan BN Sabah meneruskan agenda perjuangannya untuk rakyat.

Hadir sama di majlis tersebut termasuklah Setiausaha PBS Lumadan Abdul Adis Abus, Ketua Wanita PBS Lumadan Irene Agustine, Ketua Pemuda PBS Lumadan Abdul Marif dan Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah.




Share |