Tuesday, August 23, 2011

Berbuka Puasa Di Kg. Lalangut, Suasa.



IKHLAS…Sapawi dan Kamarlin menyampaikan sumbangan beras kepada salah seorang warga emas di majlis tersebut.
AMIL…Sapawi menyampaikan duit Amil kepada ketua Amil Kampung Lago Johor Ajil di majlis tersebut.
SUMBANGAN…Sapawi bersama Kamarlin menyampaikan sumbangan alat pembesar suara kepada pengerusi Surau Kampung Lalangut, Suasa, Kanalan Abu Samah.
SOSIAL…Sapawi bersama Kamarlin menyampaikan derma daripada Bank Kerjasama Rakyat Malaysia kepada salah seorang penerima di majlis tersebut.

BERBUKA PUASA…Sapawi dan Kamarlin bersama jemputan mengaminkan doa ketika majlis berbuka puasa.

BEAUFORT: Cabaran dan ujian yang dilalui sepanjang menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan dijadikan iktibar kepada umat Islam untuk mencapai kecemerlangan dan juga kejayaan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata cabaran dan ujian yang dihadapi oleh umat islam dalam menunaikan ibadah puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi ianya lebih daripada itu.

“Antaranya ialah memperkukuh dan mengeratkan persefahaman serta perpaduan di kalangan umat Islam sendiri,” katanya pada majlis berbuka puasa di Kampung Lalangut, Suasa dekat sini kelmarin.

Majlis anjuran Umno Sipitang bersama Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Parti Bersatu Sabah (PBS) Lumadan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah dan KRT Gabungan Suasa turut dihadiri Adun Lumadan mewakili Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Ketua PBS Lumadan Roslan Muharam, Naib Presiden PBBS Datuk Edris Salleh, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin, Pemaju Mukim Suasa Bileh Untol, Setiausaha Agong PBBS Awang Anak Awang Sani dan Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah.

Sapawi berkata perpaduan dan persefahaman di kalangan umat Islam amat penting kerana ia menjadi salah satu faktor penting untuk Islam terus cemerlang dan gemilang.

Katanya kekuatan Islam bergantung kepada persefahaman dan perpaduan di kalangan umat Islam.

“Kita akan menjadi lemah jika kita berpecah dan saling bertelagah sesama sendiri…ini sudah dibuktikan menerusi sejarah,” katanya dan menambah umat Islam tidak boleh memilih untuk bergerak sendirian bagi mencapai kejayaan dan jug keceemerlangan.

Amat sukar, katanya, untuk Islam terus maju, cemerlang dan akhirnya gemilang jika umatnya memilih bergerak sendirian dan enggan memperkukuh serta mengeratkan perpaduan dan persefahaman tersebut.

Bagaimanapun Sapawi menegaskan perpaduan dan persefahaman itu hendaklah bersifat berpanjangan dan bukannya hanya dihadirkan ketika Ramadan menjelang.

“Kita harus bersatu padu kerana kita berdepan dengan pelbagai strategi dan formula yang dilaksanakan oleh musuh bagi menghancurkan Islam,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu Sapawi menasihatkan agar umat Islam mengetepikan segala pertelingkahan dan perselisihan yang berlaku.

Katanya segala masalah perlu diselesaikan dengan baik menerusi perundingan dan tidak harus berpanjangan.



Share |