Friday, August 26, 2011

Sumbangan Di Masjid Haji Hashim



SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Ir. Mustapa Kassim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang Mualaf di majlis tersebut.

IKHLAS…Sapawi memerhatikan Ir. Mustapa Kassim menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas di majlis tersebut.

SIPITANG: Umat Islam perlu bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran agar tidak mudah diperkotak-katikan oleh pihak-pihak tertentu.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pada ketika ini umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran getir.

“Cabaran itu termasuklah usaha musuh-musuh Islam yang mahukan umat Islam sentiasa bermusuhan sesama sendiri dan berpecah,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Fakir Miskin dan Mualaf di Masjid Haji Hashim di sini kelmarin.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Naib USIA Sipitang Zair Hashim, Setiausaha USIA Sipitang Mahali Mumin, Setiausaha Kerja USIA Suhaili Matusin, Iman Sipitang Rapahi Salleh, Pengerusi Masjid Haji Hashim Zainal Timbang, Penasihat Masjid Haji Hashim Omarali Wahab dan Dermawan Ir. Mustapa Kassim dan Adnan Puteh

Sapawi memberitahu persefahaman dan perpaduan yang kukuh di kalangan umat Islam akan berupaya menghalang usaha musuh-musuh Islam tersebut.

Beliau berkata hanya dengan persefahaman dan perpaduan kukuh sahaja akan membolehkan umat Islam menghalang usaha yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam.

“Musuh Islam akan bersa senang hati sekiranya melihat umat Islam berpecah sesama sendiri kerana ini akan memudahkan mereka untuk menghapuskan Islam,” katanya dan menambah musuh Islam itu juga sentiasa menunggu peluang untuk mempengaruhi umat Islam.

Menurutnya selain perlu berawas, umat Islam harus bersatu untuk menghadapi cabaran tersebut.

Sehubungan dengan itu beliau memberitahu kehadiran Ramadan merupakan peluang dan ruang terbaik kepada umat Islam untuk memperkukuh dan mempermantapkan persefahaman serta perpaduan yang sedia ada.

Katanya Ramadan juga membuka ruang serta peluang kepada umat Islam untuk mempertingkatkan keimanan diri masing-masing.

“Ramadan bukan sekadar mengajak umat Islam untuk berpuasa iaitu menahan lapar dan dahaga tetapi ia juga untuk mendidikan umat Islam bagi bersabar selain memperkukuhkan kesatuan dan persaudaran sesama sendiri,” katanya lagi.



Share |