IKHLAS…Sapawi bersama Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada Jamaludin Musleh selaku penghulu jemaah haji daripada Dun Lumadan.
IKHLAS…Sapawi bersama Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada Isah Binti Kastawi,76, jemaah haji daripada Dun Lumadan.
SUMBANGAN…Sapawi bersama Kamarlin menyumbangkan set computer kepada Pengetua SMK Beaufort 3 Roslinah Suhailin di majlis tersebut.
BEAUFORT: Jemaah haji negeri ini dinasihatkan agar sentiasa menjaga imej negara ketika menunaikan ibadah haji di Mekkah nanti.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata jemaah haji secara tidak langsung menjadi duta negara yang pasti akan turut diberikan tumpuan ramai.
“Selain menunaikan ibadah haji yang menjadi keutamaan, kita juga harus sedar bahawa kita hadir sebagai rakyat Malaysia yang turut membawa imej negara,” katanya pada perjumpaan dengan 35 bakal haji dari Zon Lumadan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort Tiga di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Pemangku Pengurus Tabung Haji Beaufort, Pengetua SMK Beaufort 3 Roslinah Suhailin, Ketua Daerah Sipitang Junli Yusuf dan Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah.
Sapawi berkata arahan dari masa ke semasa oleh petugas Tabung Haji perlu dipatuhi kerana ianya adalah untuk kebaikkan bakal haji sendiri.
Sambil berdoa semoga bakal haji akan dapat menunaikan ibadah itu dengan sempurna, Sapawi memberitahu peluang menunaikan ibadah itu perlu dipergunakan dengan sebaik mungkin.
Katanya masih ramai umat Islam yang menanti giliran untuk menunaikan ibadah “dan kita wajar bersyukur kerana terpilih untuk menunaikannya pada kali ini.”