Sunday, November 13, 2011

Kenduri Sekampung Di Kampung Pantai, Sipitang.



SEMANGAT…Sapawi bersama kamarlin dan Ahmad menyembur air tanda memberi semangat kepada 149 peserta khatan di majlis tersebut.
SUMBANGAN…Sapawi bersama Kamarlin dan Ahmad menyampaikan sumbangan kepada Warga Emas, Ibu Tunggal dan Orang Kuran Upaya (OKU)

ANUGERAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin dan Ahmad menyampaikan anugerah Siti Khadijah kepada Hajah Hamsah Ahmad.

SOKONGAN PADU…Sebahagian penduduk setempat yang hadir di majlis tersebut.

SIPITANG: Umat Islam perlu menghayati dan memahami sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dengan menjadikannya sebagai iktibar untuk mencapai kejayaan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata ramai yang mengetahui kisah tersebut tetapi enggan untuk menyelaminya.

"Sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sewajarnya dihayati dan difahami oleh umat Islam dan menjadikannya sebagai iktibar bagi mencapai kejayaan," katanya pada majlis khatam al-Quran dan kenduri sekampung sempena perayaan Hari Raya Aidil Adha di Kampung Pantai dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Sindumin Ahmad Bujang, Adun Lumadan kamarlin Ombi, Pegawai Daerah Sipitang Latip Ahmad, Ketua Daerah Sipitang Arif Ismail, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh, Pengerusi Masjid Kampung Pantai Dahlan Embun dan Pengerusi Pelaksana Merangkap Ketua Umno Zon Pantai Jaini Puasa.

Sapawi menyampaikan sumbangan lapan ekor kerbau bagi Parlimen Sipitang untuk dijadikan korban.

Menurutnya jika kisah itu dapat dihayati dan difahami, sudah tentu perpaduan dan persefahaman di kalangan umat Islam pasti akan kukuh dan padu.

Katanya tidak akan ada pertelingkahan yang berpanjangan sehingga menyebabkan kalangan umat Islam berpecah dan enggan bekerjasama.

Beliau berkata pada ketika ini umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan perpaduan dan persefahaman yang kuat.

Katanya tanpa adanya perpaduan dan persefahaman di kalangan umat Islam cabaran itu tidak akan mungkin mampu untuk diatasi.

Menurutnya umat Islam perlu sedar bahawa musuh Islam sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam.

Salah satu fokus mereka, katanya, ialah memecahbelahkan perpaduan dan persefahaman yang wujud di kalangan umat Islam.

"Ramai di kalangan kita tahu akan kisah itu tetapi tidak mahu menghayatinya sedangkan ada mesej yang boleh dijadikan iktibar untuk kita mencapai kemajuan dan kejayaan," katanya lagi.

Beliau berkata Aidil Adha bukan sekadar mengajak umat Islam untuk meraikan perayaan sebaliknya mengajak umat Islam bagi menilai dan merenung serta berusaha menyelongkar akan mesej yang terkandung dalam sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.

Dalam pada itu Sapawi turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa berhati-hati kerana ada pihak tertentu yang mahu mempergunakan Islam bagi mencetuskan perbalahan kaum.

Katanya pihak tersebut cuba mencabar kerajaan dengan melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam.

“Antaranya termasuklah mengadakan Merdeka Seksualiti dan yang terbaharu ialah bantahan terhadap korban,” katanya lagi.

Beliau berkata pihak tersebut sengaja berbuat demikian kerana mahu membangkitkan rasa marah umat Islam dan pada masa yang sama cuba mempengaruhi mereka yang bukan beragama Islam.

“Kita berharap umat Islam tidak terpedaya dengan helah pihak terbabit sebaliknya kita terus berusaha menyatukuatkan lagi perpaduan dan persefahaman yang sedia ada,” katanya.

Di majlis itu Sapawi bersama Kamarlin dan Ahmad menyampaikan sumbangan daripada Umno Sipitang kepada 98 Warga Emas dan 97 Ibu Tunggal serta 17 Orang Kurang Upaya.



Share |