Monday, November 14, 2011

Khatam Al-Quran Peringkat Daerah Sipitang




SEMANGAT…Sebahagian peserta yang sama-sama khatam al-quran dimajlis tersebut.
SEMANGAT…Sapawi besama tetamu jemputan dan ibubapa mendahului perarakan peserta khatam al-quran dimajlis tersebut.
TAHNIAH….Sapawi menyampaikan cenderakenangan kepada salah seorang peserta khatam quran dimajlis tersebut.

SIPITANG: Generasi yang cemerlang tidak hanya bergantung kepada kejayaan dalam bidang pendidikan tetapi juga berupaya membaca, menghayati dan memahami al-Quran.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata generasi yang cemerlang dalam pendidikan akademik dan pendidikan agama.

“Kecemerlang bukan hanya bergantung kepada pencapaian pendidikan akademik tetapi juga dalam ilmu agama...jika ini dapat diseimbangkan, generasi masa depan adalah generasi yang cemerlang dan amat bernilai,” katanya pada majlis khatam al-Quran Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Agama Islam peringkat daerah di Masjid Haji Hashim di sini kelmarin.

Seramai 380 pelajar khatam al-quran yang turut dihadiri dan Pegawai Pelajaran Sipitang Razak Karim, Wakil Pegawai Daerah Sipitang Zulkefli Ahmad, Pengerusi Majlis Guru-Guru Besar Sipitang Asli Moksin, Iman Masjid Haji Hashim Rafahi Salleh dan Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad.

Sapawi berkata ibu bapa yang mahukan anak mereka menjadi generasi cemerlang dan bernilai pada masa akan datang sudah tentu akan menitikberatkan pencapaian pendidikan akademik dan juga ilmu agama.

Katanya generasi yang berupaya membaca, menghayati dan memahami al-Quran sudah tentu berupaya mengetahui formula terbaik bagi meraihkan kecemerlangan dan juga menjadi benteng sosial.

Menurutnya al-Quran merupakan panduan terbaik kepada umat Islam untuk meraih dan mencatatkan kecemerlangan serta kejayaan.

Bagaimanapun Sapawi berkata bukan hanya tahu membaca tetapi seseorang itu perlulah juga menghayati dan memahami ayat-ayat suci yang terkandung dalam al-Quran.

“Jika hanya tahu membaca tetapi tidak menghayati dan memahaminya, sudah tentu ia masih belum cukup kuat untuk membawa kita meraih kejayaan serta kecemerlangan,” katanya lagi.

Beliau berkara musuh Islam sendiri berusaha memastikan generasi muda Islam terus terpesong dengan mengidangkan pelbagai hiburan yang melekakan.

Katanya generasi muda ketika ini lebih terpengaruh dengan hiburan yang diperolehi menerusi teknologi maklumat (IT) sehingga di kalangan mereka menjadi lupa dan leka.

“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menyebabkan generasi kita akan terus ketinggalan,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu Sapawi berkata adalah penting pada ketika ini ibu bapa memainkan peranan sebagai role model bagi memastikan anak-anak mereka tahu membaca, menghayati dan berupaya memahami ayat-ayat suci al-Quran.

Katanya ibu bapa tidak harus hanya menumpukan pencapaian akademik anak masing-masing dan bersikap tidak kisah terhadap pencapaian anak-anak dalam pendidikan agama.

“Sebaik-baiknya kita membuat perimbangan di mana akademik dan ilmu agama itu sama penting,” katanya lagi.



Share |