Tuesday, November 15, 2011

Pekan Weston Berpotensi Sebagai Destinasi Pelancongan



ANAK ANGKAT…Sapawi bersalaman dengan sebahagian mahasiswa UMS yang menyertai program anak angkat di majlis tersebut.
TAHNIAH….Sapawi diperhatikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Yunus Saprin menyampaikan anugerah kepada Junaidi Omar Ali Pengerusi Komuniti 1 Malaysia Pekan Weston.
MAHIR…Sapawi melihat pertandingan memotong pucuk kelapa yang paling banyak dan pantas yang disertai oleh penduduk setempat di majlis tersebut.

WESTON (Beaufort): Hasrat menjadikan Sipitang sebagai salah sebuah destinasi pelancongan mampu tercapai dengan adanya usaha daripada pelbagai pihak termasuklah daripada institusi pengajian tinggi.

Peluang Sipitang sebagai destinasi pelancongan dari dalam dan luar negara itu turut diyakini oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika ditemui pada majlis Sepetang Bersama Ahli Parlimen Sipitang bersempena Program Anak Angkat UMS dan rakamkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Komuniti 1 Malaysia di sini kelmarin.

Sapawi berkata Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Unit Kajian GIS dan Remote Sensing akan membuat kajian mengenai potensi pelancongan Sipitang khususnya di pekan Weston.

“Kajian itu amat membantu dalam membantu merealisasikan hasrat menjadikan Weston sebagai salah sebuah destinasi pelancongan bukan hanya di negeri ini tetapi juga di negara ini,” katanya.

Menurutnya, Weston memiliki potensi pelancongan yang terbaik. Antara yang mampu menjadi daya tarikan termasuklah monyet probesis selain kunang-kunang yang mampu menarik perhatian pelancong luar negara.

Kajian dilaksanakan oleh Unit Kajian GIS dan Remote Sensing yang diketuai oleh Mustapa Abdul Talip dan dibantu oleh Dr Kadir Jaafar dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Sipitang, Ko-Nelayan dan Persatuan Nelayan Teluk Padas.

“Kajian akan dibuat secara menyeluruh dan ini bakal membantu menjadikan Weston sebagai salah satu destinasi pelancongan Eco-Tourism,” katanya dan jika ia dilaksanakan sudah tentu membantu meningkatkan sumber ekonomi rakyat di kawasan tersebut.

Katanya dalam merancakkan lagi hasrat tersebut, kerjasama dengan agensi pelancongan akan dilakukan selain daya tarikan itu disebarkan menerusi laman web.

Menurutnya selain daya tarikan yang ada di Weston, daya tarikan lain akan turut dipaparkan seperti Esplande Sipitang dan juga makanan popular di daerah tersebut iaitu satay.

Selain itu, katanya, perkampungan di atas air akan turut diperkenalkan bagi dijadikan salah satu daya tarikan untuk Sipitang.

“Kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman yang telah meluluskan peruntukan RM3.5 juta untuk membina laluan pejalan kaki konkrit sejauh 1.3 kilometer.

“Kemudahan ini membantu usaha kita dalam memberikan keselesaan kepada pengunjung,” katanya lagi.

Bagaimanapun Sapawi berkata usaha menjadikan Weston sebagai salah satu destinasi pelancongan memerlukan sokongan daripada semua pihak khususnya rakyat setempat.

Katanya tanpa adanya sokongan daripada rakyat sudah tentu usaha itu tidak mampu mencapai tahap yang diharapkan.

“Sokongan dan kerjsama daripada rakyat setempat amat diperlukan dan kita berharap rakyat tidak melepaskan peluang yang ada,” katanya lagi.



Share |