Monday, November 21, 2011

Mesyuarat Agung SAN Pekan Beaufort



DERMA…Sapawi diperhatikan oleh Matbali menyampaikan replika cek kepada Guru Besar SAN Beaufort Suhariman Sulaiman.

CERIA…Seabahagian tetamu jemputan dan ibubapa yang hadir di majlis tersebut.

BEAUFORT: Ibu bapa tidak seharusnya menganggap pendidikan agama sebagai pendidikan kelas kedua sehingga bersikap sambil lewa.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pendidikan agama penting dalam membentuk sahsiah atau keperibadian yang baik di kalangan anak-anak.

“Sikap sambil lewa dan menganggap pendidikan agama sebagai pendidikan kelas kedua tidak sepatutnya ada di kalangan ibu bapa khususnya umat Islam,” katanya pada mesyuarat agung Persatuan ibu Bapa dan Guru Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Daerah Lumadan Junli Yusof, Pegawai Tadbir Agama Jheains Beaufort Abidin Ali Hassan, Iman Masjid Beaufort Rambang Mohamad dan Guru besar SAN Pekan Beaufort Suhariman Sulaiman

Menurutnya pendidikan agama bukan sahaja membentuk kecemerlangan anak-anak tetapi berupaya memastikan mereka sebagai generasi yang cemerlang pada masa depan.

Beliau berkata pendidikan agama turut membantu generasi muda berdepan dengan pelbagai ujian yang mencabar dalam menjalani kehidupan.

“Ramai generasi muda terjebak dengan gejala sosial dan antara sebabnya ketiadaan ilmu agama…kita tidak mahu perkara ini berlaku.

“Langkah menghantar anak untuk mendapatkan pendidikan agama bukan sekadar untuk membentuk keperibadian mereka tetapi turut mengembangkan syiar Islam,” katanya dan menambah musuh Islam pada ketika ini menumpukan kepada generasi muda.

Antara usaha yang dilakukan oleh musuh Islam, katanya, termasuklah cuba mempengaruhi ahar generasi muda Islam tidak mendapat pendidikan agama.

Beliau berkata ibu bapa harus sedar perkara itu dan sewajarnya tidak mengamalkan sikap sambil lewa dan tidak melihat pendidikan agama sebagai pendidikan kelas kedua.

Mesyuarat agung kali-8 ini telah mengekalkan Matbali Musah sebagai yang dipertua PIBG SAN Pekan Beaufort bagi penggal yang ke tiga manakala timbalanya pula Awang Tengah Abdul Gapar.

Seramai 7tujuh orang dipilih untuk menanggotai jawatankuasa PIBG antaranya ialah Sakri Jeda, Samsudin Bujang, Abdul Aziz Lazim, Sudirman Sardi, Mat Salleh Rasnih, Sarimah Yusof dan Makawaroh Lacho.



Share |