Sunday, November 20, 2011

Pasar Ikan Persatuan Nelayan Teluk Padas Di Tanjung Pagar, Sipitang



BANTUAN…Sapawi diperhatikan oleh Pengarah LKIM Sabah Jamaludin Osman dan Pengerusi PENATAP Masri Latip menyampaikan sumbangan tong ikan kepada Masri Ajak wakil enam orang penerima di majlis tersebut.

IKAN SEGAR…Sapawi bersama Pengarah LKIM Sabah Jamaludin Osman dan Pengerusi PENTAP Masri Latip menunjukkan isyarat bagus menandakan ikan segar dan harga murah di tempat lokasi pasar ikan nelayan di Tanjung Pagar Sipitang.

SIPITANG: Golongan nelayan harus tidak menyisihkan diri sebaliknya mengambil peluang yang telah disediakan oleh kerajaan bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan masing-masing.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kerajaan menyediakan banyak peluang kepada golongan itu termasuklah yang telah diumumkan pada Bajet 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lalu.

“Bajet 2012 turut tidak mengetepikan golongan nelayan sebaliknya kemudahan untuk golongan itu turut ditambah dan ini adalah peluang ke arah meningkatkan sumber pendapatan golongan nelayan,” katanya pada majlis perasmian pasar nelayan di Tanjung Pagar di sini kelmarin.

Beliau berkata selain meneruskan pemberian subsidi minyak untuk golongan nelayan dan elaun sara hidup, kerajaan turut menyediakan peruntukan khas sebanyak RM300 juta untuk pembaikan, bina semula dan penempatan rumah nelayan.

Katanya apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah sebagai tanda menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh golongan nelayan.

Menurutnya golongan nelayan turut memainkan peranan penting dalam memastikan kemakmuran negara berterusan.

Bagaimanapun Sapawi menegaskan pengawasan perlu untuk dilakukan bagi memastikan golongan nelayan yang berkelayakkan tidak terpinggir daripada menerima dan menikmati kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.

“Kita mahu kemudahan itu benar-benar sampai kepada golongan nelayan yang berkelayakkan...kita tidak mahu ada yang terpinggir sehingga timbulnya runggutan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Sapawi juga meminta agar Persatuan Nelayan Teluk Padas (PENATAP) yang mempunyai 720 ahli memperkukuhkan persefahaman dan kerjasama bagi memastikan golongan nelayan terus diberikan perhatian.

Katanya kerajaan tidak akan mengabaikan golongan nelayan tetapi pada masa yang sama memerlukan sokongan daripada golongan nelayan serta persatuan dan juga pihak lain.

“Sokongan itu bagi memastikan segala perancangan dan usaha kerajaan dapat diterima dan dimanfaatkan oleh golongan nelayan,” katanya lagi.




Share |