Monday, December 5, 2011

Perwakilan Umno P.178 Sipitang Di Perhimpunan Agung Umno.



CERIA...Perwakilan Umno P.178 Sipitang mengabdikan kenangan dibelakang potret Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
SEMANGAT...Sapawi kita melaungkan'Hidup Umno' ketika perhimpunan agung Umno di PWTC.
MANTAP…Sapawi dan Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi merakamkan kenangan bersama perwakilan Umno Sipitang pada perhimpunan agung Umno.

KUALA LUMPUR: Anggota Umno pada semua peringkat perlu kembali kepada perjuangan dan matlamat asal parti dan mengetepikan sikap negatif yang menjadi amalan dan budaya.

Ketua Umno Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata ucapan dasar dan ucapan penggulungan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya perlu dihayati dan difahami tetapi juga wajar diikuti.

“Presiden parti begitu menjelas menasihatkan malah menyarankan anggota Umno pada semua peringkat untuk kembali kepada perjuangan dan matlamat asal parti…perjuangan parti bukan perjuangan berkepentingan diri tetapi untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini berakhir Sabtu lalu.

Beliau berkata Najib menekankan agar anggota Umno taat dan setia kepada parti “dan bukannya taat dan setia kepada individu sehingga sanggup mebelakangkan parti.”

Hal ini, katanya, dapat diikuti dengan kedua-dua ucapan Najib pada perhimpunan tersebut yang mana mahu agar semua anggota Umno menitikberatkan soal kualiti perjuangan dan bukannya berjuang hanya untuk individu tertentu.

“Secara peribadi saya menyifatkan ucapan dasar dan ucapan penggulungan presiden parti adalah untuk mengingati, menyedarkan dan `membangunkan’ anggota parti yang leka.

“Kita perlu ingat pilihan raya ke-13 adalah pilihan raya yang pasti mencabar kerana inilah yang akan menentukan perjuangan Umno, pembelaan ke atas rakyat dan juga kemajuan serta kemakmuran negara,” katanya dan menambah jika anggota Umno bersikap tidak kisah dan terus mengamalkan sikap yang bertentangan dengan parti, maknanya kehancuran akan dihadapi.

Menurutnya saranan Najib agar semua anggota Umno terus berkerjasama adalah kerana mahu agar rakyat terus memilih Umno dan juga Barisan Nasional agar kemakmuran serta keharmonian negara terus dinikmati.

Katanya perbalahan bukan hanya merugikan tetapi akan membawa rakyat untuk membuat pilihan yang salah dan akan membuatkan rakyat berdepan dengan kesengsaraan.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku dan kita perlu sentiasa memastikan rakyat terus menikmati keharmonian dan kemakmuran…langkah awal kita harus bermula dari dalam parti,” katanya.

Sapawi yang juga Ketua Penerangan Umno Sabah berkata anggota Umno yang mengutamakan kepentingan diri adalah anggota yang mudah untuk khianat.

Katanya merteka inilah nanti yang akan berusaha memastikan Umno hancur dan berusaha agar rakyat tidak menyokong Umno dan BN.

Menurutnya mereka ini sanggup melakukan apa sahaja biarpun tahu tindakan mereka itu membawa rakyat ke arah kesengsaraan.

“Anggota Umno perlu kembali kepada perjuangan dan matlamat yang sebenar kerana inilah yang memainkan peranan kepada kekuatan dan keutuhan Umno,” katanya lagi.

Beliau berkata terdapat sebilangan anggota Umno mula lena dan leka dengan perjuangan serta matlamat parti yang sebenar.

Katanya persefahaman serta kerjasama antara anggota mula diketepikan sehingga ada yang sanggup untuk memecahbelahkan parti.

“Saya setuju dengan datuk presiden bahawa orang Umno adalah orang yang taat dan setia kepada parti, bukannya menjadi pengkhianat dan tidak akan sesekali mengkhianat,” katanya dan menambah anggota Umno juga tidak menikam belakang dan tidak mengamalkan budaya di depan angguk di belakang geleng.

Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata rakyat menerima dan percaya serta yakin dengan Umno kerana perjuangan dan matlamat Umno yang sebenar.

Katanya perjuangan dan matlamat parti dilihat oleh rakyat menerusi ketaatan, kesetiaan, cinta dan kasih sayang dan berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban untuk parti.

Menurutnya melihat itulah rakyat yakin dan percaya kepada Umno sehingga Umno terus relevan pada masa kini.

“Kekuatan dan keutuhan Umno bergantung sepenuhnya kepada anggota parti dan kerana itulah kita lebih mengutamakan kualiti dan bukannya kuantiti.

“Perjuangan dan matlamat parti adalah untuk rakyat dan kita melaksanakannya dengan amanah dan telus...inilah tanggungjawab kepada semua anggota parti pada semua peringkat,” katanya lagi.

Dalam pada itu Sapawi memberitahu bahawa Umno Sipitang telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya ke-13.

Katanya jentera parti pada semua peringkat telah bersedia untuk digerakkan “dan matlamat kami ialah mengekalkan bahagian Sipitang sebagai salah satu bahagian yang terkuat untuk Umno dan juga Barisan Nasional (BN).”-Oleh Dzul Mohd Kassim.




Share |