Tuesday, January 3, 2012

Jabatan Dan Agensi Kerajaan Buat Tinjuan




SUMBANGAN…Sapawi bersama Kamarlin menyampaikan sumbangan bantuan sara hidup kepada salah seorang warga emas di majlis tersebut.

ROSAK TERUK…Sapawi dan Kamarlin bersama pimpinan masyarakat kampung menujukan jalan kampung Pulai Manang yang rosak teruk diselanggarakan oleh Pembinaan Kekal Mewah

BEAUFORT: Jabatan dan agensi kerajaan perlu membuat tinjauan dan bukan bersandarkan kepada gambar yang dikemukakan oleh pihak kontraktor.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata tanggungjawab yang diberikan perlu dilaksanakan dengan amanah dan telus.

“Kita mahu agar pihak jabatan atau agensi lebih peka kerana Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya pada majlis penyampaian bantuan sara diri di Kampung Pulai manang dekat sini kelmarin.

Majlis anjuran Kemas Parlimen Sipitang turut dihadiri oleh Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin, Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Lumadan Abdullah Matrais, Penyelia Kemas Sipitang Aminah Ghafar, Penyelia Kemas Beaufort Jumadin Jusin, Ketua Kampung Pulai Manang Dol Buang dan Pengerusi JKKK Kampung Pulai Manang Jumat Kalat.

Sapawi berkata jika jabatan atau agensi melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan telus sudah tentu tidak akan timbul rungutan daripada rakyat.

Katanya rakyat tidak akan menyalahkan jabatan atau agensi kerajaan tetapi akan menunding jari kepada pemimpin dan juga Kerajaan BN.

Sebagai contoh, katanya, kerja-kerja membaikpulih atau digred jalan raya kampung Pulai Manang yang diselanggarakan oleh Pembinaan Kekal Mewah sejauh 1.3 KM seringkali mendapat rungutan daripada rakyat.

“Rakyat mengadu kepada pemimpin dan pemimpin pula menyampaikan aduan itu kepada jabatan atau agensi terbabit tapi jika tindakan lambat diambil, rakyat menunding jari kepada pemimpin juga Kerajaan BN.

“Keadaan ini tidak akan berlaku jika tanggungjawab yang diberikan kita laksanakan dengan baik dan penuh amanah,” katanya lagi.

Sapawi merujuk dengan keadaan jalan rosak dalam kawasan Parlimen Sipitang yang menimbulkan banyak rungutan daripada rakyat.

Beliau memberitahu pihak kontraktor perlu bertanggungjawab dengan membuat penyelenggaraan dengan baik.

Katanya menyelenggara jalan itu dengan baik tidak akan menimbulkan rungutan daripada rakyat.

“Saya secara peribadi menyokong tindakan rakyat untuk merungut jika penyelenggaraan dibuat dengan teruk dan pada masa yang sama kita mahu pihak jabatan atau agensi yang membuat bayaran tuntutan turun padang untuk membuat tinjauan dan tidak hanya bergantung atau bersandarkan kepada gambar-gambar yang dikemukakan oleh pihak kontraktor,” katanya lagi.

a)

b)



Share |