Friday, August 17, 2012

Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen P.178 Sipitang

SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Ali Hassan menyerahkan surat kelulusan projek pembangunan pertaniam Sipitang kepada Ruslan Muharam di majlis tersebut.
SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Ali Hassan menyerahkan surat kelulusan projek pembangunan pertanian Sipitang kepada Zulkefli Harun di majlis tersebut.

SERAH… Sapawi diperhatikan oleh Ali Hassan menyerahkan surat kelulusan projek pembangunan pertaniam Sipitang kepada Jaini Puasa di majlis tersebut.

SIPITANG: Rakyat harus tidak merasa diabaikan berdasarkan kepada bantuan yang diberikan oleh kerajaan termasuklah kepada golongan petani, penternak dan juga nelayan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pelbagai bantuan telah diberikan oleh kerajaan termasuklah menyediakannya menerusi saluran jabatan dan agensi kerajaan.

“Apa yang diberikan oleh kerajaan amat jauh berbeza dengan apa yang dilakukan kerajaan di beberapa negara yang lain,” katanya pada majlis majlis penyerahan bantuan pembangunan pertanian kawasan parlimen Sipitang di rumah rehat disini.

Katanya Kerajaan Barisan Nasional amat prihatin terhadap rakyat dan sentiasa berusaha memberikan bantuan termasuklah dalam membangun dan memajukan rakyat.

Menurutnya golongan petani, penternak dan nelayan sendiri tidak terlepas daripada perhatian kerajaan.

Antara usaha untuk membantu golongan itu termasuklah usaha mengubah minda golongan tersebut bagi melihat bidang yang diceburi seperti pertanian, penternakan dan nelayan mampu memberikan pendapatan yang lumayan, katanya.

Beliau memberitahu ia termasuklah usaha kerajaan untuk menarik minat golongan tersebut bagi menceburi bidang perniagaan.

“Jika diperhatikan perniagaan daripada petani, penternak dan juga nelayan mampu memberikan sumber pendapatan yang lumayan memandangkan sumber yang mereka hasilkan amat diperlukan.

“Permintaan terhadap sumber pertanian, penternakan dan nelayan amat tinggi dan kerajaan melihat ia merupakan salah satu usaha untuk membantu golongan petani,penternak dan nelayan bagi memperolehi hasil yang terbaik dan lumayan,” katanya lagi.

Berdasarkan itu, katanya, golongan petani, penternak dan nelayan mampu menjadi usahawan yang berjaya.

Pada majlis itu seramai 25 orang menerima peruntukan kecil melibatkan jumlah peruntukan kewangan dalam bentuk projek sebanyak RM400 ribu melalui majlis pembangunan pertanian kawasan parlimen Sipitang dibawah kelolaan Peladang Kawasan Parlimen Sipitang.

Di bawah program itu, penerima akan mempergunakan peruntukan yang diberikan bagi melaksanakan projek-projek kecil yang memerlukan tindakan segera.

Program bantuan ini merupakan sebahagian peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan kepada kepada kerajaan negeri melalui kementerian pertanian melalui agensi-agensinya seperti Peladang , FAMA dan LKIM.

Sambil berharap peruntukan itu dipergunakan dengan sebaik-baiknya, Sapawi memberitahu bantuan yang diberikan itu juga adalah bukti jelas janji Kerajaan BN kepada rakyat.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengurus Besar Peladang Sipitang Ali Hassan, Pengurus Besar FAMA Sipitang Yakub Ghani, Pengurus Besar Persatuan Nelayan teluk Padas Mohd Basran Sakmad dan Penolong Pegawai Pembangunan Sipitang Zukfeli Ahmad.

Sapawi yang juga Pengerusi Majlis Pertanian Parlimen Sipitang berkata selain itu bantuan baikpulih rumah melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melibatkan 105 golongan nelayan dimana datanya diperolehi melalui persatuan nelayan teluk padas mendapat peruntukan sebanyak RM1.5 juta akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini untuk fasa pertama.


Share |