Saturday, April 6, 2013

Seminar Wasatiyyah Peringkat Daerah Sipitang.

 MESRA…Sapawi bersalaman dengan sebahagian peserta kalangan pemimpin masyarakat dan iman-iman di majlis tersebut.


 DIHARGAI…Sapawi diperhatikan Sidek menerima cenderakenangan daripada Dr. Mohd Farid di majlis tersebut.

SIPITANG: Perbezaan anutan agama dan kebudayaan tidak menghalang konsep wasatiyyah yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri diterima oleh seluruh lapisan rakyat negara ini.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata konsep tersebut bukan sahaja diterima baik oleh umat Islam tetapi juga turut diterima oleh mereka yang bukan beragama Islam.

"Penerimaan ini membuktikan bahawa rakyat negara ini mengutamakan kesejahteraan, keharmonian dan mahu kemakmuran terus dinikmati," katanya pada seminar wasatiyyah peringkat daerah Sipitang di sini kelmarin

Beliau berkata konsep itu juga ternyata mengeratkan lagi persefahaman dan perpaduan antara umat Islam dengan mereka yang bukan beragama Islam.

Katanya perpaduan dan persefahaman yang sedia ada telah dipertingkatkan dan seluruh rakyat turut sama berjuang memastikan perpaduan dan persefahaman itu terus berkekalan.

Menurutnya konsep wasatiyyah boleh disamaertikan dengan kehidupan yang sederhana tetapi sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan juga kegemilangan.

"Wasatiyyah bukan menghalang untuk kita berjaya atau mencapai kemajuan tetapi ia boleh kita sifatkan berusaha lebih gigih untuk berjaya," katanya dan menambah konsep itu juga meningkatkan lagi rasa hormat menghormati di kalangan rakyat negara ini.

Beliau berkata umat Islam harus tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang mengatakan bahawa konsep wasatiyyah hanya akan membawa umat Islam kepada kemunduran dan ketinggalan.

 Katanya dakyah itu sengaja disebarkan untuk mengelirukan umat Islam sedang konsep tersebut sebenarnya adalah untuk membawa umat islam agar terus berusaha mencapai kemajuan dan juga kejayaan.

 Menurutnya wasatiyyah itu juga membuktikan bahawa umat Islam sendiri menolak pendekatan yang ekstream atau keganasan dan tidak mengamalkannya sebagai budaya.

"Kita tidak pernah menyokong keganasan atau tindakan yang ekstream sebaliknya kita lebih mengutamakan keamanan dan juga kedamaian...hakikatnya kita mahukan seluruh rakyat terus menikmati kesejahteraan, keharmonian dan kemakmuran," katanya lagi.

Sapawi juga menegaskan bahawa waasatiyyah bukan mengajak rakyat untuk berpecah belah sebaliknya mengajak rakyat untuk terus bekerjasama dan saling sokong-menyokongi.

Katanya konsep wasatiyyah yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri turut diterima dengan baik untuk masyarakat antarabangsa dan terus meletakkan Malaysia sebagai negara yang dicontohi dan diteladani.


Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Pengarah Jheains Sidek Awang Adi, Penolong Pengarah Biro Tatanegara Sabah Sunita Terang dan Fellow Kanan IKIM Dr.  Mohd Farid Mohd Shahran.
a    
Share |