Monday, August 24, 2015

Mesyauarat Perwakilan Umno Bahagian P.178 Sipitang







SIPITANG: Anggota Umno pada semua peringkat perlu tidak membiarkan
diri mereka daripada terpengaruh dengan propaganda yang disebarluaskan
dalam media sosial.

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi  Ahmad berkata
propaganda itu sengaja disebarluaskan oleh pihak tertentu khususnya
pembangkang untuk mengugat kekuatan Umno dan Barisan Nasional.

“Landskap politik yang kini semakin terbuka dan memberi cabaran besar
menyebabkan ramai ahli yang terikut-ikut dengan apa yang disebarkan
sekaligus membawa perpecahan dalam kalangan ahli dan pemimpin,”
katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno
Bahagian Sipitang di sini kelmarin.

Beliau berkata setiap anggota parti harus mempunyai kepercayaan dan
keyakinan kepada parti dan juga barisan kepimpinan parti.

Menurutnya apa yang disebarluaskan menerusi media sosial itu adalah
bertujuan untuk mewujudkan keraguan di kalangan anggota parti.

“Anggota yang tidak mempunyai semangat kesetiaan sudah tentu akan
terperangkap dan akan mempercaya apa yang disebarluaskan itu dan
inilah yang dimahukan oleh pihak tertentu itu,” katanya dan menambah
jika perkara itu berterusan tentunya sekali ia akan mewujudkan
perbalahan dan perpecahan di kalangan anggota parti sendiri.

Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata kekuatan Umno
bukannya terletak kepada individu tetapi ia melibatkan sokongan kuat
dan utuh daripada semua anggota parti pada semua peringkat.

Katanya sejak penubuhan Umno, sokongan daripada anggota parti
membolehkannya terus relevan sehingga ke hari ini.

Biarpun, katanya, berlakunya proses perubahan dalam kepimpinan tetapi
Umno terus kukuh sebagai peneraju Kerajaan Barisan Nasional.

“Semua ini adalah kerana sokongan padu daripada seluruh anggota parti
dan kerana itulah kita sentiasa mengingatkan anggota parti agar
utamakan kesetiaan terhaadap perjuangan parti dan juga barisan
kepimpinan,” katanya lagi.

Dalam pada itu Sapawi juga menegaskan bahawa Umno Sipitang menyokong
penuh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti dan
Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman sebagai pemimpin peringkat negeri.

Katanya Umno Sipitang juga amat menghargai dan berbangga dengan
komitmen yang diperlihatkan oleh kedua-dua pemimpin tersebut.

Umno Sipitang juga, katanya, menyokong penuh Datuk Ahmad Zahid Hamidi
yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pada persidangan itu seramai 29 bakal jemaah haji dari Parlimen
Sipitang turu menerima sumbangan yang disampaikan oleh Sapawi.

SIPITANG: Pelaksanaan projek pembangunan yang direncanakan pasti dapat
dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya kuasa autonomi diberikan
kepada Sabah.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pemberian
kuasa itu akan melancarkan lagi pentadbiran jabatan ataupun agensi
kerajaan terutama yang membabitkan pembangunan seperti pendidikkan di
kawasan luar bandar negeri ini.

“Usaha ini sudah tentu mampu merapatkan lagi jurang perbezaan antara
bandar dan luar bandar di negeri ini memandangkan Sabah agak
ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, termasuk
Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat
Perwakilan Umno Bahagian Sipitang di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika menyatakan sokongan kepada pengumuman
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berada di Kuching
baharu-baharu ini berhubung pemberikan kuasa autonomi kepada Sabah dan
Sarawak khususnya yang melibatkan pemerkasaan pelbagai jabatan dan
agensi kerajaan.

Sapawi berkata komitmen itu bukanlah bermakna untuk mengambil kuasa
tetapi ia adalah untuk melancarkan segala pelaksanaan pembangunan
secara praktikal dan mengelak `red tape.'

“Kami amat menyambut baik usaha ini kerana ia turut mampu mengatasi
kelewatan proses pembangunan di Sabah,” katanya lagi.

Menurutnya komitmen itu membuktikan keprihatinan Perdana Menteri
terhadap segala keperluan rakyat di Sabah dan juga Sarawak.

Beliau berkata pada ketika ini terdapat beberapa projek yang
memerlukan pelaksanaan segera tidak dapat dilakukan dan tentunya
sekali dengan pemberian kuasa itu nanti akan memastikan keperluan
segera dapat diambil.

Katanya rakyat sendiri menyambut baik apa yang diumumkan oleh Perdana
Menteri kerana rakyat tahu ia baik dan bermanfaat.

“Kita sememangnya berusaha untuk melakukan apa yang terbaik untuk
rakyat dan kita berterima kasih kerana barisan kepimpinan sentiasa
memahami apa yang diperlukan oleh rakyat,” katanya lagi.
Share |