Monday, August 24, 2015

Program Pecutan Akhir UPSR Sipitang

  SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Razak menyerahkan sumbangan buku paduan UPSR kepada Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sipitang Kasa Saidi di majlis tersebut.
   CERIA…Sebahagian penceramah jemputan dan pelajar UPSR yang di majlis tersebut.
 YAKIN…Sapawi bersama guru-guru dan pelajar UPSR memamparkan jari lima A di majlis tersebut.



SIPITANG: Kekurangan prasana atau kemudahan pembelajaran tidak harus dijadikan alasan kepada sesebuah sekolah untuk mencatatkan keputusan terbaik pada peperiksaan yang diadakan.
     Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada para pendidiknya dan sesebuah sekolah juga mesti ada visi.
     "Visi sesebuah sekolah untuk mencatatkan kejayaan akan tercapai jika para pendidiknya mempunyai semangat dan kesungguhan untuk mendidik atau membimbing para pelajar mencatat kejayaan dalam peperiksaan.
     "Para pendidik perlu berusaha untuk membina semangat kepada pelajar bagi berusaha dan berazam mencapai kejayaan dan usaha itu perlulah dilakukan secara bersama oleh semua para pendidik," katanya pada program pecutan akhir UPSR di Sekolah Kebangsaan Padang Berampah dekat sini kelmarin.
     Katanya kerjasama itu penting khususnya dalam merencanakan perancangan dan melaksanakan lakaran strategi atau formula terbaik untuk pelajar mencatatkan kejayaan dan kecemerlangan.
     Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata selain kerjasama setiap pendidik, ia juga perlu diberikan sokongan oleh ibu bapa.
     Menurutnya sokongan ibu bapa itu penting dalam menguatkan lagi semangat pelajar untuk mencatatkan kejayaan atau kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan dihadapi.
     Sapawi turut melahirkan harapan agar sekolah turut menumpukan kepada mata pelajaran teras yakni Bahasa English, Matematik dan Sains selain Bahasa Malaysia.
     Sebagai sokongan dan dorongan kepada pihak sekolah, Sapawi mengumumkan sekolah yang mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan bakal menerima peruntukkan.
    Katanya sekolah yang terbaik dan menduduk tempat pertama akan menerima RM7,500 manakala kedua dan ketiga akan menerima RM5,000 dan RM3,000.
    "Kita berharap peruntukkan itu nanti akan menguatkan lagi semangat sekolah untuk terus berusaha memastikan pencapaian yang dicatatkan bukan sahaja dikekalkan tetapi mampu dipertingkatkan," katanya lagi.
                Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai Pendidikan Sipitang Abdul Razak Abdul Karim, Yang Dipertua Majlis Guru Besar Sipitang Kasa Saidi dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar Tenom Nordin Taib serta 200 pelajar UPSR Sipitang.


    
Share |