Thursday, August 20, 2015

Seminar Ekspedisi Saintifik Pesisiran Pantai Silam 2015

  DIHARGAI…Nasrun diperhatikan oleh sapawi menerima cenderakenangan daripada Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi Dan Alam Sekitar  KYS Dr. Waidi Sinun sempena majlis tersebut.


TAKLIMAT… Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi Dan Alam Sekitar  KYS Dr. Waidi Sinun memberi penerangan kepada Nasrun dan Sapawi di majlis tersebut.

 KOTA KINABALU: Maklum balas daripada semua pihak penting dalam membantu Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dalam menyediakan dan melaksanakan Pelan Pengurusan Kawasan Konservasi Pesisiran Pantai Timur.
     Pengarahnya Datuk Sapawi Ahmad berkata KYS pada ketika ini sedang dalam proses penyediaan pelan itu dan maklum balas dan input itu penting dalam menangani segala isu yang berkaitan dengan pengurusan kawasan berkenaan.
     "Seminar Ekspedisi Saintifik Pesisiran Pantai Silam 2015 yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Silam Datuk Datu Nasrun Bin Datu Mansur merupakan salah satu usaha untuk mengumpul maklumat yang diperlukan bagi menyediakan pelan tersebut," katanya di sini kelmarin.
     Berucap pada Seminar Ekspedisi Saintifik Pesisiran Pantai Silam 2015, Sapawi berkata KYS memperolehi sokongan daripada Jabatan Perhutanan Sabah dalam mengurus kawasan konservasi itu yang terletak di Silam Lahad Datu yang merangkumi Hutan Simpan Tumunong Hallu, Hutan Simpan Bakau Bangkuruan serta dua pulau berhampiran iaitu Pulau Tabun dan Pulau Saranga.
     Katanya, melalui Ekspedisi Saintifik 2015, ia merupakan salah satu usaha untuk mengumpul maklumat yang diperlukan bagi menyediakan pelan tersebut.
     Sepertimana yang diamalkan dalam menyediakan Pelan Pengurusan bagi kawasan-kawasan konservasi lain di bawah pengurusan Kumpulan Yayasan Sabah, iaitu Lembah Danum, Lembangan Maliau dan Kanyon Imbak, proses penyediaan pelan pengurusan akan melalui beberapa peringkat, katanya lagi.
     Pertama, katanya adalah perlu untuk mendapatkan maklumat asas tentang flora dan fauna di kawasan marin dan hutan bakau serta geologi dan iklim kawasan tersebut.
     Menurutnya KYS juga sedar bahawa penglibatan secara langsung masyarakat setempat adalah penting dalam usaha meningkatkan lagi semangat kekitaan dan kerjasama serta saling memerlukan khususnya dalam memulihara kawasan tersebut.
     "Memandangkan kawasan konservasi ini mempunyai komuniti di kawasan sekitarnya, maka adalah amat penting untuk mendapatkan input masyarakat setempat. Untuk ini, satu Stakeholders Forum akan diadakan pada bulan November tahun ini," katanya dan menambah pemuliharaan kawasan konservasi ini akan mengambil konsep "Dari tukun ke Hutan Hujan."
    Sapawi berkata secara idealnya, ia akan diurus sebagai kawasan pemuliharaan dengan koridor biodiversiti yang menghubungkan tukun Silam ke hutan hujan, tanah rendah dan tinggi; dari Pantai Teluk Darvel sehingga Gunung Silam, kawasan tadahan air dan Hutan Simpanan Dara (VJRs), Hutan Bakau, pulau-pulau dan di kawasan marin tertentu yang mana sempadan asas akan ditetapkan.
    Justeru itu, katanya adalah diharapkan seminar ini akan menghasilkan panduan serta hala tuju yang lebih jelas bagi membantu Kumpulan Yayasan Sabah mencorakkan pelan strategik pengurusan kawasan konservasi tersebut.
    "Saya sangat berharap agar para peserta akan mengambil bahagian secara aktif dalam memberi maklum balas serta bertukar-tukar pendapat dan pengalaman," katanya lagi.
    Seminar yang turut dibantu oleh Shell Malaysia disertai lebih daripada 100 penyelidik, saintis serta kumpulan sokongan daripada pelbagai jabatan/agensi kerajaan, universiti, institusi dan badan bukan kerajaan telah menyertai Ekspedisi tersebut. Antaranya ialah Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar, Taman-Taman Sabah, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Terengganu, Institut Kajian Pembangunan Sabah, University College Sabah Foundation, WWF-Malaysia, Sabah Environmental Trust dan Kumpulan Yayasan Sabah.


Share |