Monday, October 31, 2011

Perpaduan rakyat, kestabilan politik pemangkin kemajuan Sabah



INGIN TAHU…Salah seorang pesara pendidikan bertanyakan soalan di majlis tersebut.
SOKONGAN PADU…Sebahagian pimpinan dan ahli Wanita Umno yang penuh semangat melaungkan 1 Malaysia di majlis tersebut.
DIHARGAI…Muhyiddin menerima cenderakenangan daripada Musa sempena perasmian majlis tersebut.
LAUNGAN 1 MALAYSIA…Muhyiddin bersama Musa, Shafie dan Sapawi melaungkan selogan 1 Malaysia pada majlis tersebut.

JITU…Sebahagian peserta yang penuh semangat melaungkan 1 Malaysia.

KOTA KINABALU: Perpaduan rakyat yang kental dan utuh serta politik yang stabil di bawah teraju kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman, merupakan pemangkin kemajuan dan pembangunan negeri ini.

Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, berkata kedua-dua faktor berkenaan menjadi prasyarat bagi kerajaan dan pimpinan negeri melaksanakan agenda pembangunan yang dirancang untuk rakyat.

"Lebih penting, kita mengalami anjakan perubahan cukup besar lantaran adanya kepemimpinan negeri yang berwawasan," katanya ketika berucap pada Majlis Penerangan Perdana di Universiti Malaysia Sabah di sini pada Ahad.

Beliau berkata negeri Sabah kini berada di landasan yang kukuh di bawah naungan pimpinan Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

"Hasilnya ekonomi terus berkembang, pelaburan asing bertambah, GLC mencatat keuntungan besar dan rizab negeri mencecah RM3 bilion yang merupakan rekod dalam sejarah negeri ini.

"Begitu juga projek-projek mega tumbuh di seluruh negeri, dari projek Petronas di Kimanis hingga Sipitang, kemudian kluster POIC di Lahad Datu, tidak terkecuali pembangunan di Bandaraya Kota Kinabalu yang berjaya menjadi pemangkin kepada kemajuan industri pelancong negeri.

"Apakah asas kejayaan semua ini? Tentunya ia terhasil daripada kepemimpinan negeri yang ada visi, perpaduan rakyat yang cukup kental biarpun berlainan latarbelakang dan fahaman, yang menjadi simbol keunikan perpaduan dalam kepelbagaian Sabah," katanya.

Selain itu, katanya, hasil kepemimpinan bijak Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan turut membolehkanKementerian Kewangan Sabah diiktiraf yang terbaik dalam sistem pengauditan di peringkat negara.

Beliau optimis bahawa kemajuan yang dinikmati Sabah kini akan memacu pertumbuhan negara ke arah mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020.

"Kita semua yang berada di dewan ini, termasuk kakitangan kerajaan, NGO dan pimpinan belia serta pelajar, adalah rakan kongsi transformasi pembangunan negeri," katanya.

Dari segi politik, kata beliau, Sabah sehingga kini tetap padu ikatannya.

Menurutnya, kalau ada pun suara-suara nyaring dalam kelompok kecil, baik sesama keluarga Barisan Nasional, ia sebenarnya adat-resam berpolitik.

"Seperti siulan burung yang tidak pernah berhenti berkicau, isu mereka umpama `lagu lama yang didendangkan semula.' Walaupun demikian, ia tetap diberi perhatian secara serius dan berhemah," katanya.

Beliau berkata di negeri ini sebenarnya tidak banyak isu yang timbul, yang ada pun hanya berkisar kepada isu-isu domestik.

Begitupun, katanya, kerajaan tidak memandang remeh setiap isu yang berbangkit, biar sekecil mana pun sifatnya.

Seiring slogan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian, setiap yang disuarakan itu tetap diberi perhatian yang sewajarnya. Sebagai kerajaan yang prihatin, dari rakyat demi rakyat untuk rakyat, kita bersedia mengakui kelemahan dan menerima teguran, kemudian memperbaikinya.

"Pengalaman masa lampau dan sejarah yang meruntuhkan tamadun di pelbagai tempat serata dunia menjadi iktibar bermakna dan suatu pengajaran yang harus menginsafkan," katanya.

Sapawi berkata sesetengah isu yang berbangkit di peringkat nasional menjadi sensasi kerana ia dipolitikkan oleh golongan picisan tidak bertamadun dan agas-agas politik yang menanguk di air keruh.

Menginsafi keadaan inilah, kata beliau, telah menzahirkan idea penganjuran Majlis Penerangan Perdana ini, yang diadakan secara terbuka dan digerakkan di seluruh negara, merangkumkan semua segmen masyarakat.

Beliau berharap Majlis Penerangan Perdana itu memberikan pesertanya suatu dimensi baru dalam pemikiran tentang realiti di hadapan mata.

Majlis Penerangan Perdana itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Datuk Muhyiddin Mohd Yassin turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.




Share |