KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan diminta menimbang secara serius menaik taraf jalan dari Sipitang ke Kota Kinabalu sejauh 200 kilometer menjadi lebuh raya empat lorong, iaitu dua lorong sehala.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Hj Ahmad, ketika membuat saranan itu berkata langkah itu penting bukan saja untuk manfaat penduduk di kawasan pantai barat Sabah, tetapi juga bagi kemudahan pelabur yang kini mulai tertumpu di kawasan berkenaan.
Katanya, laluan berkenaan yang merentasi dua daerah utama, iaitu Beaufort dan Papar, juga merupakan satu-satunya jalan bagi pelawat dan pelancong dari Sarawak, Negara Brunei Darussalam dan juga Kalimantan Barat ke Kota Kinabalu.
"Sipitang sebagai bandar sempadan dan pintu masuk utama kini semakin menjadi tumpuan pelabur yang turut menarik ramai tenaga kerja, sekali gus menambahkan jumlah pengguna kenderaan dan pengguna jalan raya," katanya ketika berucap membahas Bajet 2012 di Dewan Rakyat kelmarin.
Sapawi berkata Sipitang yang kini memiliki kilang kertas dan palpa terbesar dikendalikan oleh Sabah Forest Industries (SFI) membabitkan pelabur dari India, turut membangunkan kawasan perindustrian baru dikenali Sipitang Industrial Park (SIP) di bawah penyeliaan kerajaan negeri.
Katanya, Petronas sudah pun memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri membangunkan projek baja dan urea dengan pelaburan RM5 bilion di kawasan terbabit, selain menjadikannya sebagai terminal minyak dan gas.
"Kita menjangkakan Sipitang akan menerima banyak lagi pelaburan langsung asing dalam tempoh tidak berapa lama, justeru kita sewajarnya menyediakan prasarana asas seperti jalan raya terbaik bagi memberikan imej negeri Sabah di kalangan para pelabur," katanya.
Beliau berkata keadaan jalan raya dua lorong, iaitu satu lorong sehala saja, bukan saja kecil dan tidak dapat menampung aliran kenderaan yang banyak, tetapi keadaannya juga sangat menyedihkan.
"Yang menyedihkan, banyak bahagian jalan yang berombak-ombak, dan apabila melaluinya, kita bagaikan berada di atas kapal yang sedang belayar di tengah-tengah lautan bergelora.
"Selain itu, banyak bahagian jalan yang berlubang-lubang di sana-sini. Syarikat konsesi yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan ini hanya menampal dan menutup lubang-lubang tersebut, bukannya menaik taraf atau memperbaikinya," katanya.
"Kita juga ingin menarik perhatian, berapa lama lagi syarikat konsesi yang mengendalikan penyelenggaraan jalan tersebut mengamalkan kerja `gali lubang, tutup lubang' ini. Selagi itulah kaedahnya, maka selama itulah juga kami akan terus didodoikan dengan nada dan irama rentak lagu `Gali Lubang Tutup Lubang' yang dinyanyikan oleh Salih Yaacob," katanya.
Dalam pada itu, Sapawi juga meminta kerajaan supaya projek jalan raya Mendulong By-Pass di Sipitang diteruskan sehingga ke Meligan dan Long Pasia, bagi kemudahan lebih 5,000 penduduk di kawasan terbabit, bagi menggerakkan ekonomi.
Tambahan pula, katanya, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membangunkan sebuah kawasan seluas 6,000 ekar di kawasan tersebut dengan projek tanaman kelapa sawit.
Dalam perbahasan sama, Sapawi turut membidas pembangkang yang terus mengkritik dan mempertikaikan usaha murni kerajaan membawa kemajuan dan pembangunan untuk rakyat.
"Biarlah apapun yang diperkatakan oleh pembangkang mengenainya. Biarlah apa jua komentar dan tanggapan terhadapnya. Mereka sentiasa memandang jelek, menganggap pelik setiap usaha baik yang kita lakukan. Bajet ini pun dikatakan gula-gula pilihan raya, ada udang di sebalik batu-batu. Dan bermacam lagi ungkapan-ungkapan berbisa yang menongkah arus.
"Kita di pihak kerajaan, yang terikat kuat semangat membela rakyat, di bawah payung Barisan Nasional, kita sesungguhnya tetap berpijak di bumi nyata. Kita tahu di mana langit dijunjung, kerana kita kenal rumput yang dipijak," tegasnya.