Wednesday, October 19, 2011

Ucapan Perbahasan Dewan Rakyat Bajet 2012



Ucapan perbahasan Bajet 2012 oleh Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Hj Ahmad di Dewan Rakyat

MUKADIMAH

Terimakasih Tuan Yang Dipetua

1.Bagi memulakan ucapan perbahasan ke atas Bajet 2012 ini, izinkan saya memanjatkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, dapat kita terus bersidang buat kesekian kalinya, di Dewan Yang Mulia ini, dan mendengar pembentangan belanjawan ketiga oleh YAB Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan pada 7 Oktober yang lepas.

2.Marilah kita bersama-sama menadah tangan memohon doa, mensyukuri rahmat kemakmuran negara di bawah lindungan pimpinan YAB Perdana Menteri yang dikasihi, moga-moga negara kita terus dilimpahi kedamaian dan kesejahteraan.

3.Mengamati intipati bajet kali ini, yang berjumlah RM232.8 bilion dan dipersembahkan dengan tema "Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara", nampaknya ia diikat dengan kuat, dan disimpul dengan kemas lagi teliti, menepati kehendak mendahulukan rakyat, seperti janji slogan yang dilaungkan, mengutamakan pencapaian, dan pemerintah menunaikan amanah.

4.Umumnya, segenap rakyat mendapat berkat manfaat bajet yang sarat memuat keprihatinan ini. Daripada anak-anak kecil yang masih bersekolah, suri rumah yang mengurus keluarga, nelayan dan petani yang bermandi keringat di bawah bumbung langit panas membahang, warga emas dan pesara, sehinggalah pemandu teksi yang bersengkang mata mencari rezeki sehingga ke malaman, orang kampung dan orang bandar, peneroka Felda dan pencetus inovasi, juga penghuni kampung tradisional serta rumah panjang, semuanya memperoleh limpah kerahmatan.

5.Turut mendapat pembelaan para penjawat awam yang mengurus tadbir kerajaan kita, terutama golongan pendidik yang menumpahkan jasa hingga jauh ke perdesaan, tanpa mengenal erti kepayahan, tidak terkecuali bekas anggota pasukan keselamatan yang bergadai nyawa memperjuang dan mempertahankan kedaulatan negara bangsa tercinta.

6.Rata-rata rakyat tersenyum lebar menyambut khabar, pengumuman bajet yang sungguh prihatin, petanda ia memenuhi gumpalan harapan yang berkembang mekar-segar.

PM BIJAK MENAHKODA BAHTERA

MERENTASI LAUTAN CABARAN

Tuan Yang Dipertua,

7.Syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, hulubalang Melayu terbilang di abad ini, kerana tetap teguh menyongsong perjuangan biar dalam getir kemelut ekonomi di persada dunia. Angka-angka pertumbuhan, carta-carta pencapaian dan jajaran perancangan yang digariskan dalam Bajet 2012 ini, adalah manifestasi keperkasaan pimpinan menahkoda zaman, mensejahterakan rakyat dan negara, menggarap perjuangan, sekali gus memancarkan sirna bahawa kita sedang bergerak menyusur persimpangan laluan melepasi terowong gelap. Insya-Allah.

8.Biarlah apapun yang diperkatakan oleh pembangkang mengenainya. Biarlah apa jua komentar dan tanggapan terhadapnya. Mereka sentiasa memandang jelek, menganggap pelik setiap usaha baik yang kita lakukan. Bajet ini pun dikatakan gula-gula pilihan raya, ada udang di sebalik batu-batu. Dan bermacam lagi ungkapan-ungkapan berbisa yang menongkah arus.

9.Biarkan mereka terus berlakon di panggung wayang kulit mereka. Biarkan mereka lemas sendiri dalam lamunan panjang di siang hari. Biarkan di luncai terjun dengan labu-labunya.

10. Kita di pihak kerajaan, yang terikat kuat semangat membela rakyat, di bawah payung Barisan Nasional, kita sesungguhnya tetap berpijak di bumi nyata. Kita tahu di mana langit dijunjung, kerana kita kenal rumput yang dipijak.

11.Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Bajet 2012 ini adalah yang terbaik pada dasawarsa ini. Berpaksi kepada kepentingan sejagat, ia membawa dan mengalirkan bersama kesaksamaan kepada semua peringkat masyarakat, dan adil pula sifatnya. Untuk itu, saya ingin sama-sama berkongsi menghulurkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri kita, dengan memetik ungkapan Tenas Effendy dalam bukunya berjudul "Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu" berbunyi:-

Menjadi pemimpin adil dan benar

Tidak memilih kecil dan besar

Petua diingat amanah didengar

Terhadap yang buruk ia tak gentar

Pada yang baik ia mengakar

Fikiran panjang hati penyabar

Dijadikan pemimpin manfaatnya besar

Hukum tegak syarak mengakar

Adat lembaga sama tiada tercemar

Negeri yang kecil menjadi besar

Tegak kukuh sayap pun lebar

BAJET PELENGKAP

VISI PEMIMPIN

Tuan Yang Dipertua

12.Bajet 2012 memancarkan harapan kepada segenap umat. Kita sedang berada di atas papan luncur, bersedia melonjak makmur menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Dasar Transformasi Nasional (DTN) bagi menaungi program-program transformasi yang telah dan akan dilaksanakan ke arah menjayakan cita-cita mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dan maju menjelang tahun 2020, merupakan platform bagi kita bergerak menuju puncak. Tidak syak lagi, kita sedang berada di landasan betul dan kukuh. Yang penting adalah pengurusan secara tertib, dan penyelarasan secara berhemah, mengelak kecairan dan mengurangkan pembaziran.

13.Saya yakin dan percaya, kita mampu mencipta kejayaan. Dengan dikemudi seorang nahkoda yang kaya dengan ilmu pelayaran, kita tidak lagi gundah-gulana menghadapi gelombang dan cabaran ini di tengah laluan, sebaliknya yakin boleh menuju destinasi sasaran pertumbuhan, sebagaimana yang telah direncanakan, biarpun dalam suasana ketidaktentuan di persekitaran dunia masakini.

SABAH MENGARAP KEMAJUAN

LAMBANG CITRA KEUTUHAN

Tuan Yang di-Pertua,

14.Sepintas lalu, saya ingin beralih sedikit kepada ekonomi Sabah seringkasnya, lantaran Bajet 2012 ini sekali lagi memberi fokus kepada pembangunan sosioekonomi rakyat di Sabah, dan juga jiran kami Sarawak, nun jauh di seberang Laut China Selatan.

15.Sesungguhnya, kami rasa bangga dan bersyukur kerana Kuala Lumpur tidak menganggap atau melayani Kota Kinabalu dan Kuching sebagai anak tiri. Dengan sokongan kuat yang kami berikan dalam pilihan raya umum ke-12 yang lepas, dan kemudian kami diiktiraf sebagai `fixed deposit' (dengan izin), tentu saja kami menghargai ganjaran hasil daripada `simpanan tetap' tersebut. Sememangnya setiap `simpanan tetap' itu ada faedah atau `bunga'nya (kata orang-orang Sabah, dengan izin).

16.Bagi pihak rakyat dan negeri Sabah, terimakasih setinggi-tinggi Gunung Kinabalu saya sampaikan kepada Kerajaan Persekutuan, atas perhatian dan penyediaan peruntukan pembangunan negeri kami. Sekadar memetik sebahagian menyentuh Sabah dalam Bajet 2012 termasuk projek pembinaan Jalan Kota Marudu - Ranau, projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah, pembangunan sebuah lagi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) sebagai pusat integrasi perkhidmatan, serta perluasan liputan bekalan air bersih dan elektrik luar bandar.

Jalan-jalan mencari lokan

Dapat pula si pari-pari

Terimakasih saya ungkapkan

Atas keprihatinan yang tidak terperi

Hari-hari pergi pejabat

Hadir mesyuarat bertalu-talu

Pimpinan YAB Datuk Seri sememangnya hebat

Tetap kami ingat selalu

Tuan Yang Dipertua,

17.Hari ini, ekonomi Sabah tumbuh subur, politiknya pula semakin makmur, negeri pesat membangun masyhur, di bawah pendekar perkasa kami, YAB Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman. Paling membanggakan juga dokongan dan pencapaian oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang banyak menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negeri.

18.Landskap ekonomi Sabah semakin indah, bagaikan bunga menghiasi taman. Dengan sumber ekonomi yang sudah dipelbagaikan dan rizab terkumpul kini mencecah RM3 bilion, negeri kami juga sedang beralih kepada status negeri maju. Kami beruntung mendapat pemimpin terhebat, seorang sarjana ekonomi dan politik, yang berjaya mengurus sebuah negeri secara bijaksana.

19.Menghargai semua itu, tidak keterlaluan jika diungkapkan Ketua Menteri kami umpama sejambak bunga mewangi dari benih yang terpilih. Pengurusan mapan inilah yang harus dan wajar terus dipertahan, demi jaminan sebuah masadepan yang mengembirakan.

20.Begitupun, kita mengharap sungguh ihsan dan pertolongan Kerajaan Persekutuan, dalam kita melangkah menjadi negara berpendapatan tinggi, agenda pembangunan kawasan luar bandar diperkasakan lagi. Prasarana asas seperti bekalan air dan elektrik, kemudahan jalan dan kesihatan, infrastruktur pendidikan dan jajaran telekomunikasi, masih perlu diperhebatkan pelaksanaannya. Hal ini telah disebutkan dalam ungkapan pembentangan Bajet 2012 menerusi lonjakan transformasi luar bandar.

21.Yang kita harapkan adalah usaha dan pendekatan secara berfokus, misalnya dalam isu pendidikan, ia hendaklah mengambil kira matlamat ke arah pembangunan modal insan secara total. Sebagai nadi penggerak kemajuan tamadun bangsa, arena pendidikan tidak boleh dikesampingkan, justeru pembangunannya mesti mengikut arus perubahan dan sealiran dengan kehendak massa, termasuklah dari segi gerak kerja kokurikulum. Seiring dengan kenaikan gaji warga pendidik kita, dan pemansuhan yuran pendidikan sekolah rendah dan menengah, maka tumpuan kini harus juga berfokus kepada pembangunan fizikal, prasarana dan kemudahan pembelajaran itu sendiri.

22.Demikian jua kemudahan rangkaian jalan raya, ia harus diberi perhatian kerana fungsinya menjana pertumbuhan ekonomi setempat selain sebagai laluan perhubungan penduduk. Tapi yang agak menyedihkan, untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, masih banyak jalan-jalan di Sabah yang berombak-ombak, dan apabila melaluinya, kita bagaikan berada di atas kapal yang sedang belayar di tengah-tengah lautan bergelora.

23. Saya tidak ingin pergi jauh untuk mengambil contoh, sekadar menyebut laluan dari ibu negeri Kota Kinabalu ke kawasan saya, Sipitang, yang melepasi dua daerah utama di pantai barat Sabah, iaitu Papar dan Beaufort, sudah cukup untuk kita merasai `alunan gelombang darat' ini. Lucu ada, terkilan pun ada. Nadanya kedengaran sedikit pelik. Mana mungkin ada gelombang di daratan, tapi itulah realiti di tempat kami. Dan itulah yang kami alami selama ini, sejak berdekad yang lampau.

24. Banyak jalan-jalan di tempat kami berlubang-lubang di sana-sini. Syarikat konsesi yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di bawah kendalian JKR ini hanya menampal dan menutup lubang-lubang tersebut, bukannya menaik taraf atau memperbaikinya. Saya teringatkan, kerja-kerja mereka tidak ubah seperti lirik lagu `Gali Lubang Tutup Lubang' nyanyian Salih Yaacob, yang antara lain berbunyi seperti berikut:-

Lobang digali menggali lobang

Untuk menutup lobang

Tertutup sudah lobang yang lama

Lobang baru terbuka

25.Walaupun barangkali lagu Salih Yaacob ini menjurus kepada soal hutang, tetapi ia sungguh mengesankan dan ada relevannya pula dalam konteks keadaan jalan raya kami di negeri Sabah. Ia menjadi lebih nyata pada bait-bait penghujung lagunya, yang berbunyi:-

Gali lobang tutup lobang

Menggali buat menutup

Gali lobang tutup lobang

Sana rata sini lobang

Gali lobang tutup lobang

Tetap saja ada lobang

Gali lobang tutup lobang

Lobangnya tak pernah hilang

26.Oleh yang demikian, kita mohon kepada kementerian yang berkaitan agar menimbang secara serius untuk menaik taraf jalan Sipitang-Beaufort-Papar-Kota Kinabalu ini, menjadi lebuh raya empat lorong (iaitu dua lorong sehala atau double lane, dengan izin).

27.Cadangan ini perlu difikir secara serius memandangkan kawasan Sipitang kini bakal menjadi tumpuan pelabur tempatan dan antarabangsa. Ketika ini, Sipitang sudah mempunyai Kilang Kertas dan Palpa terbesar dikendalikan oleh Sabah Forest Industries (SFI) yang mana pelabur utamanya adalah dari India, kemudian kita sedang dalam usaha membangunkan Sipitang Industrial Park di mana Petronas membuat pelaburan terbesarnya sekitar RM5 bilion di situ bagi projek baja urea dan amonia.

28.Jalan yang saya sebutkan ini juga merupakan laluan utama pelancong dan pelawat dari Sarawak, Negara Brunei Darussalam dan juga Kalimantan, di mana Sipitang merupakan pintu masuk utama. Kita juga ingin menarik perhatian, berapa lama lagi syarikat konsesi yang mengendalikan penyelenggaraan jalan mengamalkan kerja `gali lubang, tutup lubang' ini. Selagi itulah kaedahnya, maka selama itulah juga kami akan terus didodoikan dengan nada dan irama rentak lagu Salih Yaacob itu.

SIPITANG MENGORAK LANGKAH

SAMUR DIHARAP BAWA KEMAKMURAN

Tuan Yang Dipertua

29.Tidak cantik perbahasan ini jika tidak menyentuh sedikit tentang kawasan Sipitang, daerah sempadan dan menjadi laluan masuk utama dari negeri jiran, Sarawak, dan Negara Brunei Darussalam serta Kalimantan, Indonesia.

30.Sejak dulu terkenal dengan durian dan satenya, Sipitang tidak lama lagi akan lebih terkenal lagi apabila sebuah projek mega, Sabah Amonia Urea (Samur) dilaksanakan menerusi projek menjadikan Sipitang sebagai pengeluar baja dan urea terbesar di Asia, dengan membabitkan pelaburan hampir RM5 bilion, serta menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan. Tatkala projek ini bermula, dalam jangka waktu yang tidak berapa lama lagi, setelah termeterainya perjanjian pada 6 Oktober lepas, tentunya akan membawa bersama tempias ekonomi lain untuk dirasai warga Sipitang, dan ini bakal melonjakkan ekonomi setempat.

Kalau membeli keropok lekur

Simpan elok jangan dijemur

Warga Sipitang sangat bersyukur

Projek Samur diharap membawa makmur

31.Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengambil peluang untuk merekodkan sanjungan setinggi budi, atas kunjungan YAB Perdana Menteri, ketika berlangsungnya Pesta GATA pada bulan Julai lepas. Ia suatu kunjungan yang amat dinantikan dan sangat bermakna bagi kami. Lebih mengembirakan dari kunjungan tersebut, YAB Perdana Menteri telah menghadiahkan kami dengan pengumuman peruntukan lebih RM30 juta bagi pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah yang baru (isu yang pernah saya bangkitkan di Dewan Yang Mulia ini) bagi menggantikan ibu pejabat polis sekarang yang berkeadaan daif dan menumpang di tingkat bawah berek kediaman anggota polis.

33.Juga dalam kunjungan tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM2.7 juta bagi menaik taraf gerai kekal peniaga sate di Esplanad Sipitang, yang sememangnya cukup sinonim dengan daerah kami sebagaimana yang saya sebutkan sebentar tadi.

34.Saya juga sangat menghargai dan berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah pun meluluskan tiga pakej projek bekalan air luar Bandar bernilai sekitar RM100 juta di kawasan Sipitang, iaitu di Mukim Sindumin-Melalia-Weston, Meligan dan Long Pasia, yang sekaligus membuktikan kepentingan rakyat di luar bandar sentiasa menjadi perhatian dan keutamaan kerajaan menerusi slogan 1Malaysia mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

35.Seiring usaha memajukan ekonomi Sipitang, kita telah merencanakan pelbagai agenda pembangunan untuk memenuhi keperluan. Kerajaan kini bakal melaksanakan projek jalan raya Mendulong By-pass yang merupakan nadi menghubungkan Meligan-Long Pasia, iaitu tempat terperosok jauh di pedalaman yang berpenduduk lebih 5,000 orang.

36.Kawasan Long Pasia ini merupakan penempatan penduduk di kawasan titik pertemuan tiga sungai dari Kalimantan, Sarawak dan Sabah, yang bercantum di situ, kemudian mengaliri Sungai Padas sampai ke muara di Laut China Selatan.

37.Apa yang kita harapkan sangat ialah supaya pakej projek Mendulong By-Pass tersebut diteruskan sehingga ke Meligan dan Long Pasia (dengan penduduk lebih 5,000 orang dari suku Murut dan Lundayeh), kerana ia sangat-sangat diharap untuk menggerakkan ekonomi. Tambahan pula kerajaan negeri telah memutuskan untuk membangunkan sebuah kawasan seluas 6,000 ekar di kawasan tersebut dengan projek tanaman kelapa sawit. Projek ini dilaksanakan kerajaan Sabah atas kesedaran bahawa lapangan pertanian merupakan antara sektor menjadi sumber penting pendapatan rakyat dan negeri, dan kawasan Sipitang merupakan satu daripada lokasi berpotensi tinggi yang telah dikenal pasti.

Tuan Yang Dipertua

38.Mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi memahatkan penghargaan dan tahniah kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan atas pembentangan Bajet 2012 yang menebarkan harapan buat rakyat sejagat. Tidak syak lagi, bajet ini menjadi penyegar mencapai cita-cita besar pimpinan kita meskipun berhadapan cabaran sukar di gelanggang yang mencabar.

39.Saya yakin dan percaya, perencanaan ini mampu dicapai, kerana kita dikemudi nahkoda yang sudah melepasi ujian zaman, dan dibarisi pula armada terhebat, dengan platun-platun yang cukup kuat. Insya-Allah. Pujangga berpesan, kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Marilah kita sama-sama berusaha mencapai cita-cita yang dituju.

40.Bagi kami di Negeri Bawah Bayu, tiupan bayunya tetap menyegarkan. Pohon Barisan Nasional tumbuh merimbun. Biarpun sesekali daunnya bergoyang, tapi akarnya teguh berpasak di bumi. Kalau dahulu, politik Sabah begitu kisruh lantaran terbentuknya jalur-jalur suku dan kaum, tetapi hari ini, semuanya sudah berubah. Inilah rahmat di sebalik kehadiran Umno, yang datang ke Sabah ketika politiknya dalam keadaan hingar-bingar dahulu, membawa bersamanya sebuah perjuangan bersejarah, sebuah harapan baru, dan kini telah menciptakan sebuah dimensi baru.

41.Kepada rakyat sekalian, marilah kita melangkah seiringan, dengan satu suara dan satu derapan langkah, menjinjing satu harapan, memadatkan persamaan dan mengetepikan perbezaan, demi mencipta sebuah kejayaan di negara Malaysia tercinta ini. Insya-Allah.

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong!



Share |