MESRA…Sapawi diiringi oleh Latip bersalaman dengan orang ramai yang hadir di majlis tersebut.
BERTENAGA…Persembahan gabungan pemuzik tiga buah setesen tv Sabah, Sarawak dan Brunei bagi Malam Muzikal Budaya “ Bermukun Seberneo”
SAMBUT TAMU...Persembahan khas tarian sambut tamu oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Pangiran Omar II sempena majlis tersebut.
DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Latip menyampaikan cenderakenangan kepada Pengarah Penyiaran Sabah Jalani Mahmud .
MERIAH…Sebahagian orang yang hadir turut serta menari ketika rakaman acara “Bermukun Seberneo” sedang berlansung.
BUKAN hanya perlu dipergiatkan tetapi usaha untuk memastikan budaya tradisi tidak terhapus ditelan zaman memerlukan pendekatan yang terbaik dan antara mahu dan tidak, transfomasi ke arah menghidupkan budaya tradisi itu berterusan perlu dilaksanakan.
Namun transfomasi itu perlu dilakukan terlebih dahulu oleh mereka yang menjadi pendokong kepada budaya tradisi itu sebelum ianya disebarluaskan menerusi kaedah yang digunapakai kepada umum. Kaedah yang terbaharu itulah yang boleh dikatakan sebagai transfomasi yang mendekatkan dan seterusnya memesrakan budaya tradisi kepada umum khususnya generasi masa kini dan akan datang.
Kerjasama dan persefahaman antara penggerak serta pelaksana penting untuk diwujudkan kerana transfomasi yang dilakukan harus melibatkan semua pihak. Hanya dengan cara dan pendekatan itu sahaja akan menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan.
Inilah yang digambarkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad pada Malam Muzikal Budaya “Bermukun Seberneo”di Dewan Serbaguna Sipitang kelmarin.
Pesta Budaya Bermukun yang julung kali di adakan anjuran oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah, Sarawak dan juga Radio Televisyen Brunei (RTB). Rakaman itu merupakan antara acara kerjasama RTM Sarawak dengan RTB.
Menerusi program itu, budaya tradisi suku kaum seperti pantun dipersembahkan dan hanya disiarkan oleh RTM Sarawak dan RTB.
Sapawi berkata program tersebut merupakan salah satu usaha yang membantu menghidupkan dan menyuburkan budaya tradisi yang dimiliki oleh suku kaum negara ini.
“Kerjasama yang terjalin amat membanggakan kerana budaya tradisi kita sebenarnya adalah budaya serumpun,” katanya dan menambah penyiaran itu mungkin memperlihatkan adanya persamaan dan juga perbezaan.
Beliau berkata program itu membantu untuk mendekatkan dan memesrakan budaya tradisi itu kepada generasi muda.
Sambil berbangga dengan program itu, Sapawi berkata program yang bermanfaat seumpama itu amat perlu untuk diteruskan.
“Program ini bukan sekadar membantu menghidupkan dan menyuburkan budaya tradisi tetapi juga memperlihatkan keutuhan jalinan persefahaman antara Malaysia dan Brunei,” katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengarah Penyiaran Sabah Jalani Mahmud, Pegawai daerah Sipitang Latip Ahmad, Pemimpin Kemajuan rakyat Sindumin Abdul rahman mohd Noh, Wakil RTB Ridzuan Hashim dan Wakil RTM Sarawak Ahmad razali