Datuk Sapawi Ahmad berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negeri untuk manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman agama, ideologi politik dan bangsa.
Jelasnya, pelbagai bantuan lain juga telah dan akan disalurkan terus kepada rakyat bagi meringankan beban mereka, dan manfaat yang lebih berkesan ini secara tidak langsung dapat dirasai oleh golongan berpendapatan rendah.
"Inilah kerajaan yang sentiasa prihatin dengan masalah rakyat dengan mengotakan segala janji yang telah dibuat termasuklah dengan pemberian RM100 kepada pelajar sekolah dan baucer RM200 untuk pelajar universiti.
"Kini terbukti, dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan bahawa kerajaan tidak mampu untuk menunaikan segala janji kepada rakyat adalah tidak benar.
"Oleh kerana ketandusan isu, maka pembangkang sanggup berbuat apa sahaja untuk menafikan segala kebaikan kerajaan, ”katanya.
Tambah Sapawi, kerajaan akan sentiasa berusaha dengan lebih gigih dalam membela kepentingan rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia iaitu, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat di kawasan Sipitang ini bersyukur dengan bantuan yang diberikan selain dapat memanfaatkanya dengan sebaik-baiknya.
Dalam pada itu, Sapawi turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan tohaman pakatan pembangkang bahawa bantuan yang diberikan kepada rakyat adalah rasuah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.
Beliau menambah, tuduhan itu adalah demi kepentingan politik sempit pembangkang yang tidak pernah menyokong usaha baik yang dilakukan kerajaan untuk membantu rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan agama.
"Semua bantuan yang kita bagi seperti BR1M pun mereka kata kita rasuah untuk hadapi pilihan raya sedangkan apa yang diberikan adalah bagi meringankan beban rakyat.
"Orang ramai harus menilai dengan bijak dan rasional bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, agama serta kepercayaan politik," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sipitang meminta pembangkang supaya tidak mempolitikkan bantuan tersebut kerana ia telah diperuntukkan menerusi Bajet 2012 bagi meringankan beban isu rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.
"Keupayaan memberi kesejahteraan menerusi bantuan kebajikan ini hanya mampu dilakukan oleh kerajaan terbaik yang sentiasa merencana pembangunan untuk membela nasib rakyat," ujarnya.