Monday, June 4, 2012

KWAPM S.K Ulu Sipitang



IKHLAS…Sapawi diperhatikan oleh Ramali (kiri) menyampaikan bantuan KWAPM kepada salah seorang pelajar yang layak menerima dimajlis tersebut.
BANTUAN…Sapawi diperhatikan oleh Ramli (kiri) menyampaikan bantuan KWAPM kepada salah seorang ibu pelajar yang layak menerima di majlis tersebut.
CERIA….Sebahagian ibubapa pelajar yang hadir di majlis tersebut.

SIPITANG: Rakyat tidak harus terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu berhubung dengan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata matlamat utama kerajaan memperkenalkan KWAPM adalah untuk memastikan semua generasi negara ini dapat menikmati pendidikan.

“Kerajaan tidak mahu ada generasi tidak dapat menikmati pendidikan hanya disebabkan kemiskinan…ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab Kerajaan Barisan Nasional bagi memastikan tidak ada generasi yang harus tercicir,” katanya pada majlis penyampaian KWAPM di Sekolah Kebangsaan Ulu Sipitang kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Guru Besar SK Ulu Sipitang Ramli Awang Said dan Timbalan Pengerusi PIBG SK Ulu Sipitang Abdul Rahim Yahya.

Sapawi berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan setiap generasi negara ini dapat menikmati pendidikan.

Usaha itu, katanya, selain KWAPM kerajaan turut menghadiahkan bantuan RM100 untuk setiap pelajar dan juga baucer buku pada tahun ini.

“Ini sudah cukup jelas dan terang bahawa Kerajaan BN amat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat…pembangunan dan kemajuan pendidikan tidak diabai dan pada ketika yang sama kerajaan juga mahu memastikan setiap generasi akan dapat menikmatinya,” katanya lagi.

Sapawi memberitahu rakyat perlu bersyukur kerana memiliki kerajaan seperti BN kerana apa yang diberikan dan dinikmati oleh rakyat tidak dapat dinikmati oleh rakyat mana-mana negara.

Katanya Kerajaan BN juga bukan seperti pembangkang yang berusaha memesongkan fikiran rakyat dengan menghebohkan perkara yang tidak benar dan bersifat fitnah.

“Pendidikan merupakan agenda utama Kerajaan BN dan apa yang kita janjikan tetap akan dikotakan…ketika ini kemudahan prasarana pendidikan di bandar dan di luar bandar sentiasa dipertingkatkan,” katanya lagi.

Menurutnya hanya rakyat yang terpenaguh dan terpedaya tidak akan melihat akan usaha dan kesungguhan Kerajaan BN.

Oleh sebab itulah, katanya, kerajaan sentiasa berusaha memberikan kesedaran kepada rakyat agar mereka tidak dipergunakan dan diperbodoh-bodohkan.

“Apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN tidak pernah dilakukan oleh pembangkang dan ini boleh dilihat di negeri-negeri yang mereka perintah…kemajuan dan pembangunan pendidikan di negeri itu diserah bulat-bulat kepada Kerajaan BN dan mereka (pembangkang) tidak berbuat apa-apa kecuali menabur fitnah dan berusaha memesongkan fikiran rakyat,” katanya lagi.

Di majlis tersebut seramai 90 pelajar menerima wang tunai RM200 melalui bantuan KWAPM.

Share |